Wan Ahmad Fayhsal mahu tanding Parlimen Bagan Serai - Utusan Malaysia

Wan Ahmad Fayhsal mahu tanding Parlimen Bagan Serai

WAN Ahmad Fayhsal (kiri) berbual dengan tetamu yang menghadiri jamuan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Tersusun Jalan Gula Simpang Ampat, Semanggol di Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mahu bertanding di Parlimen Bagan Serai dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, Parlimen Bagan Serai antara kerusi yang berpotensi untuk beliau bertanding selain di Kelantan, namun perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya.

“Dari segi kecenderungan, sememangnya saya memberi fokus untuk berada di sini selain daripada Kelantan yang juga kawasan berpotensi saya untuk bertanding. Tapi terpulanglah kepada pucuk pimpinan parti kerana siri-siri rundingan masih belum selesai antara Pas, Bersatu dan Gerakan.

“Parlimen Bagan Serai merupakan antara pilihan yang ada dalam senarai saya. Malah saya telah bergerak aktif selama hampir dua tahun di lapangan bagi menyantuni masyarakat Bagan Serai ketika pandemik Covid-19,” katanya kepada pemberita pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Tersusun Jalan Gula Simpang Ampat, Semanggol di sini hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau menghormati pendirian Dewan Pemuda Pas dan Dewan Muslimat Bagan Serai yang telah menghantar memorandum kepada pimpinan mereka mendesak Perikatan Nasional (PN) memberi laluan kepada Pas untuk bertanding Parlimen Bagan Serai.

“Saya juga mengiktiraf kekuatan Pas di Bagan Serai yang mana Pas mempunyai blok undi yang kukuh di sini. Setiap kali pilihan raya, undi kepada Pas konsisten sekitar 15,000 dan mungkin akan ada pertambahan dengan pengundi yang baharu nanti,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal menegaskan, begitupun Bersatu juga mempunyai kelebihan yang boleh dimanfaatkan bersama Pas sebagai rakan komponen untuk ditawarkan calon atau dengan strategi bagi memenangi hati pengundi di sini terutamanya pengundi baharu.

“Saya percaya sekiranya diletakkan calon khususnya yang muda, berpendidikan tinggi dan yang memahami suasana masyarakat di sini yang pelbagai kaum, agama dan budaya, PN mampu menang di kerusi ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya