PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan digesa menubuhkan sebuah unit terapi dan kaunseling bagi pegawai perubatan di semua hospital kerajaan.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, saranan itu dibuat sebagai langkah menangani tekanan jiwa dalam kalangan pegawai perubatan.
Walaupun memuji langkah Kementerian Kesihatan yang menubuhkan pasukan petugas bebas bagi menyiasat kematian doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang, baru-baru ini, beliau menyifatkan apa lebih penting adalah kesihatan mental dalam kalangan pegawai perubatan di hospital kerajaan.
“Unit terapi dan kaunseling di semua hospital kerajaan membantu pegawai perubatan yang menghadapi kerja berlebihan, tekanan jiwa dan masalah emosi.
“Penubuhan unit ini adalah sejajar dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang menyatakan kementerian memandang serius tentang kepentingan kesihatan mental masyarakat kita. Selain itu, ia seiring dengan Pelan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan 2020-2025 yang dilancarkan oleh kementerian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pendedahan para doktor pelatih di media sosial tentang beban kerja dan tekanan jiwa yang dihadapi oleh mereka semasa menjalani housemanship menunjukkan agak ramai dalam kalangan mereka mengalami tekanan jiwa dan masalah kemurungan.
“Pada masa yang sama, tingkah laku agresif atau sikap buli oleh sesetengah pegawai perubatan yang senior terhadap doktor pelatih di hospital juga menunjukkan golongan doktor senior ini mempunyai masalah sikap dan memerlukan bimbingan psikologi,” katanya. – UTUSAN