KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yakin pindaan perlembagaan UMNO bagi memasukkan penangguhan pemilihan parti selama enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU) dapat diluluskan tanpa sebarang masalah.
Beliau berkata, ini kerana perkara itu sudah diluluskan secara sebulat suara pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lepas, manakala mesyuarat agung luar biasa (EGM) Ahad ini adalah sekadar formaliti seperti mana yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
“Saya tak nampak pula (ada kemungkinan) tak diluluskan. Ini secara formaliti yang perlu kita penuhi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Aspira UMNO sempena Hari Ulang Tahun ke-76 parti itu, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, permohonan pindaan dijangka dihantar ke Ros pada 17 Mei ini selepas EGM itu nanti.
Justeru, katanya, beliau juga yakin tiada masalah untuk RoS meluluskan pindaan perlembagaan UMNO bagi memasukkan penangguhan pemilihan parti selama enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).
“RoS tidak sepatutnya ada halangan. RoS tak boleh kuasai parti. RoS hanya pantau sama ada kita ikut perlembagaan atau tidak.
“Jadi saya tak rasa ada apa-apa halangan daripada RoS untuk luluskan pindaan,” ujarnya. UTUSAN










