ALOR SETAR: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak wajar berbalah di depan orang ramai menerusi media sosial.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, kedua-dua individu berkenaan ketika ini seakan cuba menunjukkan kejaguhan masing-masing.
“Yang seorang itu cuba menunjukkan dirinya berani melawan anak raja, yang anak raja pula tak sepatutnyalah bersikap sedemikian.
“Bagi saya tak perlulah kita tonjolkan watak seperti itu kerana itu akan membuatkan orang lebih benci dan meluat kepada kedua-duanya,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini hari ini.
Mahfuz menambah, jika ada sebarang isu yang timbul, kedua-dua pihak sepatutnya kembali merujuk kepada undang-undang mahu pun menerusi saluran yang betul.
“Kalau kata ada isu mempergunakan pengadil, melewat-lewatkan permainan, buatlah laporan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Apa gunanya berdebat di luar hingga mengeluarkan gelaran yang bukan-bukan.
“Kedua-duanya bagi saya perlu lebih berhati-hati terhadap kesan daripada perbalahan ini. Kita bimbang juga pada akhirnya nanti, akan timbul rasa benci kepada raja dan sebagaiya,” katanya.
TMJ dan Sanusi berbalas-balas kritikan terutama berkaitan dakwaan Menteri Besar Kedah itu bahawa Liga Malaysia dikuasai individu tertentu.
Ekoran itu Tunku Ismail mencabar Sanusi mẹmbuat pendedahan secara terperinci dakwaan yang dilakukan mengenai individu tertentu ‘mengawal’ Liga Malaysia.
Pemilik kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memuat naik satu kenyataan mendesak Menteri Besar Kedah itu menerusi ciapan di Twitter baginda. – UTUSAN










