Terkandas di Thailand, majikan minta pampasan RM80,000

Terkandas di Thailand, majikan minta pampasan RM80,000 jika mahu pulang

terkandas
OOI Teik Liang (dua dari kanan) dan ibu kepada dua remaja yang terkandas di Thailand selepas didakwa menjadi mangsa sindiket penipuan kerja, Por Sai Yeong (dua dari kiri) dan T. Ranggama (kanan) menunjukkan iklan mengenai tawaran kerja di luar negara yang semakin berleluasa di media sosial di pejabat MCA Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN:  Dua remaja berusia 20 tahun dari Sungai Bakap, Nibong Tebal dekat sini dikhuatiri terkandas di kawasan Segi Tiga Emas, Thailand selepas didakwa menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di negara itu sejak tahun lalu.

Kedua-dua remaja berkenaan, Lim Zin Xin dan Teoh Chi Peng, bertolak ke Thailand pada 7 Julai tahun lalu selepas mengikut seorang kenalan mereka yang menawarkan pekerjaan di Thailand dengan gaji sehingga RM8,000 sebulan.

Mereka dikatakan berpindah-randah ke beberapa lokasi untuk bekerja di Thailand dan lokasi terkini mereka adalah di kawasan Segi Tiga Emas yang menjadi sempadan antara Thailand, Myanmar dan Laos.

Bapa kepada Zin Xin, Lim Soon Peng, 53, menerusi maklumat terbaharu yang diperoleh daripada anaknya, sindiket berkenaan meminta pampasan sehingga RM80,000 sebagai ‘harga pembebasan’ mereka daripada seorang majikan warga Thailand.

BUNTU

”Anak saya bertolak ke Thailand bersama Teoh Chi Peng dan seorang lagi rakannya yang menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan pada Julai tahun lalu.

”Anak saya ada maklumkan dia dan Chi Peng mahu pulang, namun  majikan mereka meminta wang pampasan sebanyak RM80,000 jika mahu pulang ke Malaysia.

“Saya buntu apabila memikirkan nasib kedua-dua mereka kerana saya tidak ada wang untuk membayar pampasan itu,” katanya ketika ditemui di Pejabat MCA Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut Soon Peng, dia juga tidak tahu apa pekerjaan sebenar anaknya dan seorang lagi rakannya itu di Thailand kerana anaknya tidak dapat berkomunikasi terlalu lama bersama keluarga kerana pergerakannya sentiasa dipantau majikan.

”Kami berhubung menerusi aplikasi We Chat, anak saya beritahu sekarang dia bekerja dengan majikan dari Thailand di kawasan Segi Tiga Emas.

”Dia perlu bekerja sehingga 20 jam dan pergerakannya sentiasa dikawal rapi termasuk ketika berada di asrama pekerja,” katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada  Chi Peng, T. Ranggama, 62, berkata, dia merupakan ibu tunggal dan tidak dapat menyediakan wang sehingga RM80,000 seperti yang diminta oleh sindiket berkenaan untuk membebaskan anaknya itu.

”Anak saya berhubung dengan saya pada 17 April lalu dan sehingga kini dia tidak dapat dihubungi lagi, saya amat bimbang dengan keselamatannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Biro Perkhidmatan Awam MCA Pulau Pinang, Ooi Teik Liang berkata, pihaknya sedang berusaha membantu kedua-dua keluarga berkenaan dengan berhubung dengan pihak polis dan polis antarabangsa (Interpol).

”Kami juga memohon orang ramai tidak terpedaya dengan tawaran kerja di luar negara yang semakin berleluasa di media sosial,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN