TAIPING: Kerajaan Perak sedang mengkaji kos pembinaan terowong air dari Sungai Perak ke kolam Bukit Merah di Bagan Serai bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air semasa musim kemarau.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kajian masih berjalan dan projek itu adalah perancangan jangka panjang kerajaan negeri.
“Memang ada dalam perancangan untuk membina terowong air dari Sungai Perak ke empangan Bukit Merah untuk kegunaan pada waktu-waktu diperlukan seperti semasa musim kemarau.
“Tapi kos pembinaan terowong masih dalam peringkat kajian,” kata beliau pada Program Menteri Besar bersama Rakyat (Mesra) Daerah Larut, Matang dan Selama di Dewan Bunga Raya, Changkat Jering di sini hari ini.
Mengulas paras air Tasik Bukit Merah yang semakin surut, Saarani berkata, kerajaan negeri akan menjalankan pembenihan awan untuk mengatasi masalah terbabit.
Kata beliau, penyusutan paras air di Tasik Merah telah dilaporkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria pada mesyuarat kerajaan negeri dua minggu lalu.
Katanya, Razman turut mencadangkan agar kerajaan negeri membuat permohonan pembenihan awan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi mengisi air di Tasik Bukit Merah.
“Bila ada pembenihan awan maka ia akan bekalkan air hujan pada tempat berkenaan dan kerajaan negeri akan cuba memberikan peruntukan seperti mana yang diminta.
“Petani juga harus memastikan tidak berlaku pembaziran dalam penggunaan air sebab sumber terhad,” katanya. – UTUSAN