Zara Qairina cedera teruk

Zara Qairina cedera teruk

ZARA QAIRINA MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengalami kecederaan otak yang teruk akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak berpunca daripada jatuh.

Kecederaan yang dikesan selepas bedah siasat itu adalah selari dengan dapatan awal yang me­nunjukkan ia konsisten de­ngan insiden jatuh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar dalam sidang akhbar semalam berkata, bedah siasat 10 Ogos itu dikendalikan tiga doktor, masing-masing seorang dari Hospital Serdang dan dua dari Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Hasil daripada keputusan bedah siasat itu juga, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan arahan supaya satu inkues­ dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kecederaan ter­sebut yang membawa kepada kematian Zara Qairina.

AGC berkata, arahan itu dikeluarkan selepas terdapat keraguan punca kematian dan in­kues dijalankan adalah selaras dengan peruntukan di bawah Subseksyen 339 (1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

“Prosiding inkues itu bertujuan menentukan punca dan sebab kematian termasuk me­ngenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina.

“Proses ini akan dikendalikan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jumaat lalu, kubur Zara digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut oleh PDRM demi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Pada 9 Ogos lalu, kubur remaja berkenaan digali semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang dan jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat, sebelum selamat dikebumikan semula awal pagi Ahad di tanah perkuburan sama.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) serta semua warden SMKA Tun Datu Mustapha di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan pihak selesai.

KPM berkata, keputusan itu diambil susulan pengumuman PDRM bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes Allahyarham Zara Qairina.

“KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksana secara menyeluruh, teliti dan tuntas.

“Sebagaimana yang telah ditegaskan, kes tersebut merupakan keutamaan KPM pada masa ini,” katanya dalam kenyataan.

KPM berharap siasatan telus dan sepenuhnya dapat dilaksanakan demi keadilan buat keluarga serta semua pihak terlibat.

Peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir menzahirkan penghargaan kepada AGC atas keputusan menjalankan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian kanak-kanak berusia 13 tahun itu.

Menurut peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan dan Mohd. Luqman Syazwan Zabidi, prosiding tersebut selaras dengan peruntukan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah yang bertujuan mengenal pasti punca serta sebab kematian termasuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya.

“Dengan keputusan ini, semua perkara yang kami mohon daripada AGC menerusi surat bertarikh 5 Ogos 2025 telah dipenuhi.

“Kami akan memohon kepada koroner agar diberi peluang terlibat secara langsung dalam prosiding inkues nanti. Harapan kami adalah supaya prosiding berjalan lancar dan dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.

“Keadilan untuk Zara adalah matlamat utama kami dalam setiap tindakan yang diambil,” kata mereka kepada Utusan Malaysia.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula mengarahkan semua masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengadakan bacaan Yasin dan Solat Hajat untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir selepas solat Maghrib, hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, arahan itu selaras dengan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar bagi menyatakan solidariti dan keprihatinan terhadap keluarga mangsa.

“Sebagai tanda kebersamaan, Jakim akan memastikan semua pengurusan masjid di bawah kelolaannya melaksanakan majlis ini dengan penuh tertib dan teratur, sesuai dengan syiar Islam.

“Majlis ini bukan sahaja sebagai doa untuk kesejahteraan Allahyarham, tetapi juga sebagai tanda kasih sayang, solidariti dan keprihatinan umat Islam terhadap ahli keluarga yang sedang diuji,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×