Tangisan selamatkan bayi lelaki ditinggalkan

Tangisan selamatkan bayi lelaki ditinggalkan

SEORANG bayi lelaki yang ditemukan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah teres di kawasan Taman Puchong Indah, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bunyi tangisan kuat seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah teres di kawasan Taman Puchong Indah dekat sini, semalam berjaya menyelamatkan nyawanya daripada ancaman haiwan berbisa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu,bayi lelaki itu ditemukan masih hidup dan dibungkus dengan menggunakan plastik hitam dalam keadaan terbuka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd. Fairus Jaafar berkata, pihaknya  menerima maklumat berkaitan kejadian menerusi panggilan kira-kira pukul 9.24 malam berkaitan penemuan mangsa.

Kata beliau, bayi tersebut ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan masih mempunyai uri serta bertali pusat.

“Siasatan mendapati, bayi berkenaan disyaki lahir kurang dari 24 jam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut, kata beliau, siasatan di tempat kejadian mendapati kawasan adalah gelap dan bersemak.

“Bayi ini disedari oleh saksi setelah terdengar bunyi tangisannya. Dia dihantar ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” jelasnya.

Menurutnya, pemeriksaan oleh doktor kecemasan mendapati bayi tersebut seberat 2.185 kilogram dan dilahirkan normal. 

“Pemeriksaan dijalankan turut mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh badan bayi dan anggaran tempoh dilahirkan adalah antara 38 hingga 40 minggu. Bayi tersebut kini berada di Special Care Nursery (SCN), Hospital Serdang untuk pemantauan dan rawatan lanjut,” jelasnya.

Ujar Mohd Fairus, siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi tersebut. 

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut supaya tampil memberikan kerjasama melalui nombor telefon 03 56210343 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Adilah Rosli di talian 016-6873616. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN