Syed Saddiq cadang kanabis diiktiraf sebagai perubatan alternatif

Syed Saddiq cadang kanabis diiktiraf sebagai perubatan alternatif

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan supaya kerajaan mengiktiraf penggunaan kanabis sebagai perubatan alternatif di negara ini.

Beliau berpandangan, sudah tiba masanya Malaysia mengikut jejak lebih 40 buah negara di seluruh dunia yang mengiktiraf penggunaan dadah tersebut bagi tujuan perubatan.

“Langkah diambil di negara lain juga perlu dilihat sebagai satu dorongan kumpulan kesihatan Malaysia menawarkan perubatan alternatif ini dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan perkara itu ketika hadir pada prosiding kes penyanyi dan komposer, Muhammad Yassin Sulaiman di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini hari ini bagi memberikan sokongan serta solidariti kepadanya.

Syed Saddiq yang juga Pengerusi Kaukus Medical Cannabis memberi beberapa ulasan umum berhubung penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan selepas prosiding kes  tersebut.

“Badan kesihatan dunia seperti World Health Organisation (WHO) juga mengiktiraf penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan ini sebagai alternatif kepada para pesakit.

“Saya telah berjumpa dan melakukan perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mana saya mencadangkan untuk memberi kuasa kepada Jabatan Peguam Negara memberi pertimbangan lebih tinggi dalam isu penggunaan kanabis,”  katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berpendapat,  hakim-hakim perlu diberi lebih kuasa dan kelonggaran dalam menilai kes-kes berkaitan penggunaan kanabis untuk perubatan.

“Malah, hukuman gantung adalah hukuman yang terlampau berat kepada pesakit hanya kerana masalah kesihatan mereka memerlukan mereka untuk mencari perubatan alternatif seperti kanabis.

“Tindakan para pesakit mencari perubatan alternatif ini tidak boleh sesekali disamakan dengan jenayah bunuh seperti mengenakan hukuman gantung dikenakan,” tambahnya.

Sementara itu, katanya, Perdana Menteri akan membangkitkan isu berkenaan dalam Kabinet dan terdapat respon yang sangat positif berhubung isu tersebut.

“Tidak dinafikan, dalam perbicangan dengan Perdana Menteri sebelum ini mengundang pelbagai reaksi sosial. Justeru, kita jangan politikkan perkara ini dan cuma melihat dari segi data and sains,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan akan terus mengikuti perkembangan kes Muhammad Yassin dari semasa ke semasa dan berhubung rapat dengan keluarga penyanyi itu.

“Kes ini sudah pasti menjadi  rujukan ahli-ahli Parlimen seperti saya dalam usaha mengkaji semula undang-undang berkaitan penggunaan kanabis dan hem untuk tujuan perubatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN