Syawal bermakna buat tiga bekas banduan

Syawal bermakna buat tiga bekas banduan

LIANA (dari kiri), Ezzat dan Afiz memastikan sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna untuk mereka serta keluarga selepas bergelar banduan akibat terjerat dengan dadah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sambutan Aidilfitri tahun ini memberi nafas baharu buat tiga bekas banduan dan lebih manis apabila fasa endemik ini membolehkan mereka bukan sahaja kembali ke pangkuan keluarga, tetapi menjernihkan kembali hubungan dengan mereka.

Kesyukuran itu dizahirkan mereka dikenali sebagai Ezzat, Liana dan Afiz selepas masing-masing sebelum ini dipenjara enam bulan hingga tiga tahun akibat terjerat dengan najis dadah.

Bagi Liana, 42, raya tahun ini menjadi paling bermakna apabila dapat meraikannya bersama keluarga selepas keluar dari penjara pada tahun lalu.

Menurutnya, dia dipenjara selama tiga tahun akibat terpengaruh dengan dadah sehingga sanggup menjadi penyeludup kepada barang terlarang itu.

“Punca saya terjebak dengan dadah adalah kerana melihat diri sendiri gemuk di hadapan cermin, sejak itu saya mula mengambl syabu. Namun, lama kelamaan daripada menagih kemudian menjadi sumber pendapatan sebelum ditahan polis pada 2018.

“Memang lumayan bila boleh dapat bayaran sehingga RM20,000 daripada pembekal menyebabkan saya sanggup menjadi penyeludup dan pernah beberapa kali membawa keluar dadah dari negara ini ke Indonesia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Dia yang kini bekerja dekat sebuah kilang sarung tangan menambah, dadah mengakibatkannya menjauhkan diri daripada keluarga serta dua anaknya semata-mata untuk mengejar kecantikan dan kekayaan.

Sementara itu, Afiz, 36, berkata, anaknya menjadi kekuatan untuk dia berhenti daripada dadah selepas dipenjara selama enam bulan pada enam tahun lalu.

Menurutnya, dia teruja untuk menyambut Aidilfitri bersama anak tunggalnya berusia sembilan tahun terutama selepas pemergian isterinya pada 2014.

“Saya mahu membina semula keluarga, memberi kasih sayang kepada anak masih kecil yang kehilangan ibunya. Saya tak mahu dia rasa kehilangan ayah, saya kena ada di sisinya, anak kecil itu tidak wajar diberi dugaan seberat itu.

“Hisap syabu memang boleh hilangkan tekanan, tetapi menyebabkan ketagihan dan akhirnya memberi kesan bukan sahaja kepada diri sendiri, bahkan keluarga. Cukuplah, saya bersyukur masih ada anak,” luahnya.

Ezzat, 32, turut berkongsi tindakan terburuk yang pernah dilakukannya pada Aidilfitri beberapa tahun lepas apabila menggunakan perbelanjaan untuk keluarga untuk membeli dadah dan berjudi.

“Lebih dua tahun bergelumang dengan dadah sebab terpengaruh dengan keseronokan dunia. Saya masih ingat bagaimana dihabiskan lebih RM1,000 untuk beli dadah.

“Pada waktu itu, saya hanya memikirkan kepuasan diri, tanpa memikirkan perasaan orang tua. Saya betul-betul menyesal dengan tindakan tersebut, dadah hanya memberikan keseronokan yang sementara,” katanya.

Jelas Ezzat, dia terjebak dengan dadah sejak usia muda sehingga pernah dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney, kemudian dipenjarakan di Kluang, Johor selama enam bulan dan akhirnya keluar dengan rasa kesal pada 2014.

Kini Liana, Afiz dan Ezzat selain masing-masing mempunyai pekerjaan sendiri, mereka juga melakukan khidmat masyarakat dengan membantu individu berhadapan masalah ketagihan dadah di bawah naungan Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN