Simposium: Pengajaran sastera Melayu di sekolah masih lemah

Simposium: Pengajaran sastera Melayu di sekolah masih lemah

MUHAMMAD HAJI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengajaran kesusasteraan Melayu di sekolah masih lagi dalam peringkat yang lemah sehingga memberi kesan kepada penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda.

Sasterawan negara, Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh berkata, pengajaran sastera di sekolah seharusnya diajar seperti pengajaran sastera Inggeris yang memberi kesan besar kepada ramai pihak termasuk dirinya sendiri.

“Saya diajar mengenai Shakespeare oleh orang Scotland yang sangat pandai berdrama dalam kelas. Saya pun mula tertarik dengan sastera Inggeris dan puisi Inggeris kerana yang menyampaikannya dapat menjiwai karya itu.

“Sementara cikgu saya ini hanya memberikan tarikh, nama watak, siapa menang siapa kalah dan tak lebih dari itu. Sastera seharusnya membawa kita kepada jiwa sesuatu bangsa dan bahasa.

“Oleh kerana guru sangat baik cara mengajarnya, saya dapat menghafal beberapa baris dari Shakespeare tetapi saya tak dapat hafal sastera Melayu kerana tidak diberi yang indah-indah, ini salah satu masalah pengajaran sastera Melayu di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam sidang 8: Bahasa Melayu Tunjang Peradaban Bangsa bersempena Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu.

Pada masa sama, beliau juga hairan mengapa guru-guru bahasa Melayu hanya mengajar dari sudut permukaan sahaja, sedangkan pengajaran sastera yang baik akan cuba mendalami, mengorek dan mencungkil keindahan bahasa.

“Inilah yang terjadi kepada generasi yang dikuasai bahasa Inggeris, sekarang banyak orang menentang simposium ini kononnya kita mahu membalikkan Malaysia ke zaman dulu kala.

“Ini bukan masalah kita tak mahu bahasa Inggeris, tetapi India mahu bahasanya sendiri, Vietnam dan Kemboja pun tak tukar kepada bahasa Perancis… tapi kita mahu (tukar bahasa Inggeris).

“Ini cara kita berfikir, walaupun ini semua agak abstrak, tetapi sebenarnya ini berlaku pada kita setiap hari, walaupun cuba melepaskan diri tapi tak selalu berjaya. Jutaan orang Malaysia masih dijajah walaupun British sudah tidak ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN