Seni silat perlu terus dipelihara - Ismail Sabri - Utusan Malaysia

Seni silat perlu terus dipelihara – Ismail Sabri

ISMAIL Sabri Yaakob ketika perhimpunan dan Penyampaian Ijazah Peringkat Kebangsaan Ke-36 Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru semua pihak semua terus memartabatkan seni silat supaya budaya persilatan yang telah bertapak sekian lama di negara ini akan dapat dikekalkan dan diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Ini kerana, Perdana Menteri berkata, silat bukan sahaja mengajar mengenai mempertahankan diri, tetapi membina ketahanan dalaman, jati diri, disiplin, pembentukan sahsiah tinggi dan melahirkan masyarakat yang mempunyai kesetiaan dan kecintaan kepada tanah air.

Malah katanya, silat turut memainkan peranan besar menghindar belia dan beliawanis negara daripada gejala tidak sihat dengan melatih keperibadian yang baik, mulia, berkeyakinan diri, berdisplin dan patuh kepada pemimpin melalui latihan silat.

“Silat juga menjadi jambatan budaya Melayu dengan dunia luar dengan ratusan ribu ahlinya di benua Eropah, Asia Tengah, Asia Timur dan Afrika.

“Oleh itu, silat perlu dipertahankan supaya satu daripada budaya persilatan yang telah bertapak sekian lama ini akan dapat dikekalkan dan diterima oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Perhimpunan dan Penyampaian Ijazah Peringkat Kebangsaan Ke-36 Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia.

Justeru beliau berkata, pertubuhan silat berhasrat memperluaskan budaya silat menerusi pelbagai saluran untuk kakitangan awam dan swasta, institusi pengajian tinggi yang diyakini mampu membentuk remaja lebih berperibadi dan mempunyai nilai-nilai murni.

“Program silat ini perlu diteruskan kerana ia simbolik kepada penyatuan ummah dan perpaduan masyarakat bak kata pepatah Melayu ‘bersatu teguh bercerai roboh’, maka ia bakal mencipta satu sejarah gemilang masyarakat silat dan seni mempertahankan diri dalam menempuh cabaran dari dalam dan luar.

“Kejayaan dan pengiktirafan yang diperoleh ini selama ini akan membuka laluan kepada kejayaan yang lebih besar kepada Seni Silat Lincah Malaysia pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan, kerajaan akan terus menyokong usaha pelbagai pihak termasuk aktiviti silat yang merupakan entiti yang menjana modal insan dan intelektual serta bertindak sebagai ejen perancang strategik masyarakat, di samping menjadi ejen pelaksana kepada program-program berimpak positif.

Oleh itu katanya, ilmu silat harus diinstitusikan sebagai wadah dan wacana perkembangan ilmu melalui strategi berlandaskan agenda pendidikan, warisan budaya dan kesukanan.

“Peranan yang dimainkan oleh silat begitu besar dan meluas. Dari sudut budaya dan sukan, silat berupaya memperkenalkan identiti Malaysia ke serata dunia.

“Kerajaan pula sudah memberinya pengiktirafan sebagai satu warisan kebangsaan pada 2005. Pengiktirafan ini merupakan langkah awal kerajaan dalam memastikan budaya ini tidak pupus, sebaliknya terus dipraktik dan diwarisi,” katanya.

Beliau juga berharap akan ada lebih ramai pesilat yang akan mengikut jejak langkah Allahyarham Mahaguru Tan Sri Omardin Mauju dalam sumbangannya terhadap seni silat negara.

“Gelaran Pendekar Negara yang dianugerahkan kepada Allahyarham telah menaikkan imej silat itu sendiri.

“Sumbangan Allahyarham begitu besar dalam sejarah persilatan moden negara. Diharapkan selepas beliau, akan lahir insan-insan yang akan diiktiraf oleh kerajaan dalam dunia persilatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya