KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak sedang meneroka potensi Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) dalam usaha untuk mempercepatkan lagi Agenda Tenaga Hijau negeri.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini adalah untuk menghasilkan bahan api jet secara mampan yang akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon merentasi kitaran hayatnya – melebihi 80 peratus – walaupun pelepasan yang terhasil dalam pengeluaran SAF diambil kira, berbanding bahan api fosil.
“Bahan api alternatif pesawat seperti SAF boleh menjadi kunci kepada perjalanan udara yang mampan, menjadi penyumbang besar kepada strategi pengurangan pelepasan industri dan matlamat pelepasan sifar karbon,” katanya dalam ucapannya bertemakan Mempercepatkan Ekonomi Hidrogen Global: Cara Sarawak pada Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Dunia 2022 di Rotterdam, Belanda di sini hari ini.
Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak berkata, menerusi agensi pembangunan dan pelaburan negeri, iaitu Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawa (SEDC) sedang bekerjasama dengan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) dalam pembangunan biofuel, hidrogen hijau dan sel bahan api untuk pesawat.
“Dengan kemajuan terkini dalam sel bahan api hidrogen untuk penerbangan, terutamanya perkembangan terkini dalam dron, saya membayangkan bahawa tidak lama lagi sel bahan api hidrogen boleh mengisi semula helikopter berkuasa hidrogen.
“Oleh itu, kami mahu bekerjasama dengan industri penerbangan, termasuk industri marin untuk mempercepatkan usaha dan meningkatkan pembangunan SAF – biofuel, E-metanol dan potensi sel bahan api hidrogen,” katanya.
Beliau menambah bahawa ia adalah masa yang sesuai untuk memanfaatkan potensi besar hidrogen untuk memainkan peranan penting bagi masa depan tenaga yang bersih, selamat dan mampu milik.
“Berbalik kepada persoalan di mana terletaknya keseimbangan antara melindungi alam sekitar dan mengembangkan ekonomi, saya boleh dengan selamat mengatakan bahawa sebenarnya tidak ada pilihan sebenar tetapi hanya tindakan sebenar.
“Saya percaya bahawa jika kita semua berusaha untuk mempercepatkan pasaran hidrogen dengan cara yang diselaraskan ia boleh membantu untuk merangsang pelaburan dalam kemudahan dan infrastruktur bersepadu yang akan mengurangkan kos dan membolehkan perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik,” katanya.
Abang Johari menambah bahawa perdagangan global bagi komoditi yang dikongsi akan mendapat manfaat daripada piawaian antarabangsa biasa yang akhirnya akan merangsang permintaan komersial untuk hidrogen.
“Maka, saya mengalu-alukan kerjasama untuk menyumbang lebih lanjut kepada badan pengetahuan tempatan dan global berkenaan teknologi hidrogen dan aplikasinya, terutamanya dalam persekitaran tropika untuk mempercepatkan pertumbuhan hidrogen bersih yang serba boleh untuk dunia,” katanya.
Sementara itu, Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Dunia 2022 selama tiga hari itu dihoskan oleh Rotterdam, Belanda dari 9 hingga 11 Mei ini.
Premier Sarawak menyertai kira-kira 3,500 pemimpin kerajaan dan industri dari seluruh dunia untuk meneroka dan membiasakan diri dengan teknologi hidrogen, aplikasi dan penyelesaian terkini yang bersedia untuk merevolusikan industri hari ini.
Pada pagi Selasa (10 Mei), delegasi Premier dijadual bertemu dengan ketua pegawai eksekutif Pelabuhan Rotterdam dan kemudian pada sebelah petang mereka akan dibawa melawat Pusat Teknologi Shell di Amsterdam yang mempamerkan hidrogen syarikat multinasional teknologi dan pelbagai lagi inovasi baharu.
Delegasi itu kemudiannya akan terbang ke Oslo, Norway pada hari Rabu (11 Mei) untuk mendapatkan maklumat mengenai operasi dana kekayaan negara Norway yang menurut Premier akan menjadi model dana serupa yang akan ditubuhkan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membawa lebih banyak pulangan kepada lebihan dana yang mungkin terkumpul pada masa hadapan.
Turut mengiringi premier ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni, Setiausaha Kewangan Negeri Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Datuk Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi SEDC Tan Sri Abdul Aziz Hussain;, Pengerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) Datuk Amar Hamed Sepawi dan Ketua Pegawai Eksekutif SEB Datuk Sharbini Suhaili. Amsterdam, Belanda, di sini hari ini.- UTUSAN