PETALING JAYA : Pakar undang-undang dan Kolumis Utusan Malaysia, Datuk Salleh Buang dilaporkan meninggal dunia sebentar tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang dalam Facebook beliau hari ini.
“Dukacita dimaklumkan Datuk Prof Salleh Buang baru sahaja meninggal dunia sebentar tadi. Semoga Allah mencucuri rahmat atas rohnya.
“Sama-sama kita doakan semoga Allahyarham ditempatkan bersama insan yang beriman dan bertaqwa. Sesungguhnya beliau telah banyak berjasa kepada kita semua Pegawai Syariah/Peguam Syarie,” katanya.
Allahyarham dahulunya berkhidmat di Pejabat Peguam Negara di Kuala Lumpur sebelum menjadi peguam bela dan peguam cara, menyertai sektor korporat dan akademik.
Beliau terlibat secara aktif di dalam memberikan ceramah umum dan latihan kepada sektor awam dan swasta serta banyak memberikan pandangan berhubung isu-isu undang-undang serta perlembagaan khususnya kepada Utusan Malaysia. –UTUSAN ONLINE










