Rumah PPRT terbakar, mangsa cuma dapat selamatkan pam racun, mesin 'chainsaw' - Utusan Malaysia

Rumah PPRT terbakar, mangsa cuma dapat selamatkan pam racun, mesin ‘chainsaw’

SEBUAH rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin milik Muhamad Azli Ahmad musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Bukit Betong di Lipis, Pahang. - FOTO/IHSAN BALAI BOMBA KUALA LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) hangus dalam kejadian kebakaran di Kampung Bukit Betong, Jelai di sini malam tadi.

Kejadian pada pukul 7.58 malam itu turut menggemparkan sebilangan penduduk yang baharu selesai menunaikan solat maghrib di masjid berdekatan.

Ketua Balai Bomba Kuala Lipis, Haslizan Ramli berkata, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis serta bantuan BBP Sungai Koyan bersama dua buah jentera pemadam LFRT dan sebuah ambulans EMRS ke lokasi setelah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

“Ketika tiba di lokasi, kita mendapati sebuah rumah terbakar dan anggota bomba melakukan penugasan pemadaman dengan menggunakan dua aliran hos daripada tangki pam jentera. Kebakaran turut memusnahkan 100 peratus kediaman tersebut dan bagaimanapun penghuni kediaman ini selamat tanpa mengalami apa-apa kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Haslizan, anggota bomba berjaya memadamkan api keseluruhannya dan seterusnya melakukan tugasan pemantauan keselamatan manakala punca kebakaran dan jumlah taksiran kerugian masih dalam siasatan.

Haslizan selanjutnya menasihatkan semua pemilik kediaman supaya memberikan tumpuan ketika memasak dan elakkan ke dapur sekiranya keadaan badan letih dan mengantuk.

Jelasnya, ibu bapa juga perlu mengawasi anak masing-masing ketika bermain bunga api sekiranya tanpa kawalan boleh mengundang kebakaran kediaman.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Betong, Badra Isa Abd Hamid berkata, kebakaran rumah PPRT milik Muhamad Azli Ahmad, 42, dipercayai bermula di bahagian syiling rumah itu.

“Kita bersyukur ketika kejadian ini, dia (Muhamad Azli) dan isterinya yang berusia 40 tahun serta tiga orang anak mereka terselamat tanpa mengalami apa-apa kecederaan. Keluarga ini tinggal sehelai sepinggang apabila keseluruhan rumah PPRT ini rentung, manakala mangsa hanya dapat membawa keluar sebuah pam racun dan mesin ‘chainsaw’ dalam kejadian ini,” katanya.

Jelasnya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah memberikan bantuan awal kepada keluarga mangsa ini selepas kejadian dan mereka kini tinggal menumpang buat sementara di rumah ibu bapa di Bukit Betong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN