PETALING JAYA: Sebanyak RM21.4 juta aset disita Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap individu dan syarikat yang dikesan melakukan pengambilan deposit secara haram sejak 2018 hingga 2021.
Pengambilan deposit secara haram itu melibatkan pelaburan tanpa lesen atau skim cepat kaya yang menjanjikan pulangan berlipat ganda dalam tempoh tertentu namun tanpa mendapat kebenaran BNM.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber BNM memberitahu, dalam tempoh empat tahun ini, pihaknya mengesan sebanyak 15 kes pengambilan deposit secara haram.
Ujarnya, mana-mana pihak yang mengambil atau menerima serta memperoleh deposit tanpa lesen adalah bertentangan Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Seksyen 149(1) IFSA 2013.
“Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau didenda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.
“Dari 2018 hingga 2021, sebanyak 15 kes pengambilan secara haram disiasat BNM manakala kes yang telah diputuskan mahkamah bagi tempoh sama, hukuman dikenakan termasuk penjara antara enam bulan hingga 10 tahun dan denda antara RM1 juta ke RM298 juta.
“Untuk tempoh itu juga, sebanyak RM21.4 juta jumlah aset telah disita melibatkan kesalahan itu,” katanya.
November lalu, sebanyak 22 premis i-Serve Online Mall Sdn. Bhd. dan syarikat sekutunya dilapor diambil tindakan penguatkuasaan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk di bawah FSA dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Kesemua premis di Kuala Lumpur dan Selangor itu diserbu BNM serta pelbagai agensi banteras jenayah kewangan selain merampas dokumen berkaitan bagi membantu siasatan.
Malah, tindakan serbuan tersebut juga menyebabkan 45 akaun dalam tujuh bank dibekukan dan wang tunai dirampas, yang keseluruhannya berjumlah RM118.7 juta.
Pada 2017, Koperasi Dinar Dirham Bhd. turut diserbu BNM selepas disyaki melakukan pelaburan haram dalam emas ‘e-wallet’ selain merampas lapan kenderaan bernilai lebih RM1.5 juta dan membekukan 114 akaun bank di 12 bank berjumlah RM15.3 juta di bawah AMLA.
Selain itu, mata wang ringgit dan asing bernilai RM1.4 juta serta 22.5 kilogram logam berharga turut dirampas. – UTUSAN