PUTRAJAYA: Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini sunyi sepi sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri apabila sebahagian besar penduduknya pulang ke kampung.
Suasana lengang jelas dapat dirasai di kebanyakan lokasi tumpuan ramai yang kelazimannya penuh sesak dengan pengunjung setiap kali cuti umum atau hujung minggu.
Ia susulan peluang kelonggaran diberikan kerajaan bagi merentas negeri setelah dua tahun tidak dapat berbuat demikian ketika perayaan itu yang dimanfaatkan oleh warga Putrajaya.
Dataran Putra selain Masjid Putra dan bangunan Perdana Putra di Presint 1 yang sinonim sebagai mercu tanda ikonik bandar Wilayah Persekutuan ketiga itu kelihatan hampir kosong.
Begitu juga Dataran Putrajaya yang berhadapan dengan Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Istana Kehakiman di Presint 3 apabila situasi sibuk kebiasaan berubah tenang.
Ketiadaan Rumah Terbuka di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Presint 10 pada hari 1 Syawal juga membolehkan penduduk berpeluang ‘balik kampung’ masing-masing.
Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Larai, Yusoff Abdul Latiff
berkata, ramai penduduk ‘balas dendam’ pulang ke kampung menyambut lebaran.
“Keadaan ini tidaklah pelik kerana Putrajaya dihuni sebahagian besar kakitangan kerajaan yang bukan pun penduduk tempatan sendiri dengan berasal dari seluruh negara,” katanya.
Turut berkongsi pandangan yang sama ialah Pengerusi Persatuan Penduduk Blok C Fasa 4B Presint 8, Bakhtiar Anuar Md. Amin yang berasa teruja apabila pergerakan trafik di jalan di bandar itu lancar.
“Kalau dulu memang jenuh berpeluh cari parkir, namun semalam pemandu kereta tidak perlu risau bahkan sampai boleh ‘tamak’ kerana banyak alternatif tempat letak kenderaan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan peniaga tapak pasar Ramadan di Putrajaya berkurangan drastik pada hari terakhir Ramadan selain banyak premis perniagaan ditutup untuk bercuti lebih awal.
Keadaan dapat dilihat di kompleks beli-belah Alamanda di Presint 1 yang kebiasaannya sibuk ‘meriah’ pada hari minggu tetapi bertukar begitu sunyi termasuk ketika waktu puncaknya.
Ia diakui oleh Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Putrajaya Sub Zon 1 di Presint 16, Selamat Mustamin yang mana gedung komersial ini bersebelahan kawasan itu.
Ramai penduduk, ujarnya, dilapor sudah balik awal ke kampung selepas habis waktu bekerja untuk mengelak terperangkap dalam kesesakan teruk di sepanjang lebuh raya.
“Kali ini mereka ceria maklumlah dua tahun tidak dapat pulang disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan selain faktor cuti panjang bersempena dengan sambutan Hari Pekerja,” katanya.
Tambahan, kebanyakan penghuni Putrajaya adalah golongan keluarga muda yang tentunya lebih selesa pulang ke kampung bertemu ibu bapa, adik beradik dan saudara mara. – UTUSAN