KUALA KANGSAR: Proses pengecaman tiga mayat pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara semalam, akan menggunakan rekod pergigian bagi mengesahkan identiti.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, rekod pergigian tersebut digunakan berikutan keadaan mayat yang sukar dikenal pasti.
“Proses pengecaman mayat ketiga-tiga pelajar itu sukar dilakukan seperti biasa dan memerlukan bukti forensik bagi mengenal pasti identiti mereka.
“Oleh itu, waris setiap keluarga telah memberikan sampel untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan dihantar ke Jabatan Kimia di Cheras untuk dianalisis.
“Bagaimanapun, buat masa sekarang, pihak hospital cuba menggunakan rekod pergigian untuk membuat perbandingan dengan gigi mayat. Sekiranya terdapat persamaan, maka identiti mereka boleh dikenal pasti,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, proses bedah siasat mayat ketiga-tiga mangsa telah selesai dan hanya menunggu pengesahan rekod pergigian sebelum jenazah dibawa pulang oleh waris untuk urusan pengebumian.
“Sekiranya tidak berjaya, maka kita terpaksa gunakan kaedah DNA juga,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 12.52 tengah malam di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, kesemua mangsa rentung setelah kereta jenis Honda City dinaiki mereka terbakar selepas terlibat kemalangan membabitkan dua treler membawa muatan mozek dan besi pagar.
Mangsa terlibat, Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.
Dalam kejadian tersebut, pemandu treler berusia 28 dan 37 tahun tidak cedera. – UTUSAN










