Program BMTKM ringan beban keluarga miskin tegar 

Program BMTKM ringan beban keluarga miskin tegar 

MUSTAPA Mohamed beramah mesra dengan seorang penduduk selepas menyampaikan sumbangan sempena lawatan turun padang ke daerah Kubang Pasu di Jerlun, Kedah,hari ini. - UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Seramai 180,009 keluarga miskin tegar di negara ini yang menerima bantuan di bawah program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) diharap dapat memanfaatkan bidang diceburi bagi meringankan beban mereka berikutan peningkatkan kos hidup, termasuk kenaikan harga barangan keperluan pada masa sekarang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, menerusi program yang bermula hujung bulan ini, sebahagian daripada keluarga miskin tegar di kawasan-kawasan tertentu digalak meningkatkan pendapatan dengan mengusahakan tanaman sayur-sayuran, perikanan dan penternakan.

Katanya, menerusi bantuan tersebut, keluarga terlibat bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan, malah meringankan beban mereka apabila tidak perlu lagi membeli sayur-sayuran, ikan dan lain-lain.

“Ada beberapa kawasan kita galakkan bercucuk tanam, sekurang-kurangnya meringankan beban mereka. Dulu beli sayur, sekarang tanam sayur tepi rumah, jadi kurang beli barang dapur.

“Ini dapat membantu keluarga miskin tegar tersebut dalam tempoh jangka masa sederhana,” katanya selepas sesi taklimat dan lawatan turun padang ke daerah Kubang Pasu bagi pelaksanaan program BMTKM, di sini hari ini.

KERATAN laporan muka depan UTusan Malaysia 12 Mei 2022.

Utusan Malaysia pada 12 Mei lalu melaporkan harga semua barang keperluan dijangka me­lonjak sekitar 50 hing­ga 60 peratus mulai bulan de­pan susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dan sikap peniaga yang tamak untuk mendapat untung besar. 

Malah beberapa harga bara­ngan keperluan asas seperti ayam, daging dan hampir semua sayur-sayuran telah me­nyaksikan peningkatan sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Mustapa memberitahu, pada Fasa 1 program itu, sebanyak 80 lokaliti seluruh negara termasuk tujuh lokaliti di Kedah dan tiga lagi di Perlis.

Katanya, keluarga terlibat akan dibantu dalam meningkatkan pendapatan menerusi bidang atau kemahiran masing-masing seperti pertanian, nelayan, penternakan, jahitan dan perniagaan.

Tambahnya, pendekatan yang diguna pakai dalam program BMTKM di setiap lokaliti terlibat pula berbeza kaedah penyelesaiannya.

“Program BMKTM yang akan dilaksanakan ini merupakan pelengkap kepada program pembasmian kemiskinan sedia ada yang sedang dilaksanakan oleh pelbagai agensi pada ketika ini. Matlamat program BMTKM adalah mencapai kemiskinan tegar sifar pada 2025, sebagaimana ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN