Polis tangkap empat tokan dadah - Utusan Malaysia

Polis tangkap empat tokan dadah

MUHAMAD Zaki Harun (dua dari kiri) menunjukkan dadah pada sidang media di IPK, Kota Bharu, hari ini. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan empat tokan dadah dalam beberapa serbuan di Tumpat dan di sini, sejak semalam.

Kesemua lelaki berusia 26 hingga 48 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan membabitkan rampasan pil yaba, heroin, epam yang dianggarkan bernilai RM11,550.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Wakaf Bharu, kira-kira pukul 1 pagi, dua tokan dadah ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Tumpat.

“Dalam serbuan berkenaan, dua lelaki berusia 41 dan 48 tahun ditahan selepas polis menemukan 1,020 pil yaba dan empat biji epam bernilai RM6,000. Jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 512 penagih,” katanya pada sidang akhbar di IPK di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, selepas sejam setengah serbuan pertama, pasukannya melakukan serbuan di sebuah rumah di kampung Jal Kechik, Tumpat dan menahan seorang lelaki berusia 46 tahun serta merampas 23 biji, pil yaba bernilai RM730.

Menurutnya, serbuan ketiga pula, sepasukan anggota BSJN Kota Bharu menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dan merampas 55 biji pil yaba yang dianggarkan bernilai RM550 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sireh, awal pagi tadi.

Katanya, pihaknya akan terus mengesan tokan yang masih aktif menjalankan kegiatan pengedaran pil yaba kerana dadah itu paling popular di Kelantan berikutan mendapat permintaan tinggi.

“Pil yaba adalah dadah yang paling popular berbanding dadah jenis heroin manakala pil yaba  harganya murah telah menyumbang kepada faktor permintaan tinggi. Sebiji pil yaba berharga RM10, tapi jika permintaan tinggi dan bekalan sukar diperoleh susulan kawalan ketat, harga akan meningkat sehingga RM20 sebiji.

“Kita akan terus mempertingkat operasi bagi mengesan tokan yang menjalankan kegiatan dadah secara besar-besaran,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya