REMBAU: Polis Peronda Lebuh Raya (EMPV) Bukit Aman Zon Selatan menahan seorang lelaki yang memandu sebuah kereta jenis Toyota Altis secara berbahaya di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara Selatan (arah Selatan), di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Hazri Mohamad berkata, anggota EMPV Sektor 2 Pedas-Ayer Keroh yang sedang membuat kawalan lalu lintas kemalangan jalan raya melihat sebuah kenderaan jenis Toyota Altis berwarna perak yang dipandu secara berbahaya dan mencurigakan.
Menurutnya, susulan itu, pasukan polis mengejar kenderaan tersebut dari Kilometer 223 sehingga ke Kilometer 169 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Selatan).
“Pemandu berusia 24 tahun itu dan seorang penumpang berusia 17 tahun ditahan di Kilometer 169 berhampiran susur keluar Tol Tangkak dengan bantuan pasukan EMPV Tangkak.
“Tangkapan dibuat ke atas pemandu iaitu seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori. Hasil ujian pernafasan pemandu mendapati kandungan alkohol melebihi tahap dibenarkan. Bagaimanapun, saringan ujian air kencing kedua-dua individu berkenaan negatif dadah,” katanya.
Hazri berkata, semakan rekod polis juga mendapati pemandu terbabit mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan manakala penumpang pula mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, buat masa ini kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN