JEMPOL: Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang lelaki bernama Mohd. Zulkefli Shahari, 36, bagi membantu siasatan berkaitan kes curi buah sawit di Ladang Sawit Felda Raja Alias 5 di sini pada 21 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, lelaki itu lebih dikenali sebagai ‘Angah Pendek’ beralamat terakhir di Felda Raja Alias 4, Bandar Seri Jempol di sini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan individu tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Razif Karim di talian 013-9961566 atau Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di talian 06-4582222,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Chang Hook berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, dua lelaki ditangkap pasukan polis bersama sebuah kereta jenis Proton Wira yang berisi buah sawit.
“Polis dan penyelia ladang membuat pemeriksaan dan mendapati 19 tandan buah sawit ada di dalam kereta suspek dan pemeriksaan selanjutnya mendapati terdapat kesan buah sawit baru dipetik di beberapa batang pokok.
“Berdasarkan soal siasat, kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes berkenaan bersama seorang lagi yang masih bebas. Mereka mengambil dan mengangkut buah sawit di tempat kejadian dengan menggunakan kereta yang dirampas.
“Semakan mendapati pemilik kereta yang dirampas adalah milik kepada bapa suspek yang masih bebas. Kedua-dua suspek yang ditangkap dibuat saringan ujian air kencing dan didapati kedua-dua mereka positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.
Katanya, hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai empat rekod lampau salah guna dadah termasuk satu dikehendaki polis.
“Kedua-dua suspek direman empat hari bermula 22 Mei lalu dan salah seorang daripadanya dituduh di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan, semalam,” katanya. – UTUSAN











