LUMUT: Polis sedang mengesan seorang lelaki warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki dari negara sama disyaki dibunuh di atas bumbung sebuah premis rumah kedai di Sitiawan, dekat sini, pada hari raya pertama Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, suspek dikenali sebagai Al Amin, 26, dikehendaki untuk membantu polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kes tersebut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi pihak polis khususnya Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Ashazarul Khairi Ab Hamid di talian 012-5077026 atau Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886222 atau mana-mana balai polis terdekat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini akhbar ini melaporkan, lelaki warga Bangladesh ditemukan mati dipercayai dibunuh rakan senegara dalam pergaduhan di atas bumbung sebuah bangunan kedai di Sitiawan pada 2 Mei lalu.
Mangsa berusia 39 tahun dan suspek berusia 26 tahun bekerja sebagai operator di sebuah kilang dan mereka tinggal di rumah yang sama bersama tujuh lagi lelaki warga Bangladesh.
Ketika kejadian dua lelaki tersebut dipercayai naik ke bumbung premis untuk berbual manakala yang lain tidur di tingkat bawah sebelum seorang rakan serumah mangsa terdengar bunyi bising dari tingkat atas bumbung.
Beberapa rakan serumah mangsa pergi ke tingkat atas itu sebelum melihat mangsa sudah terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar pendek serta berlumuran darah. – UTUSAN