MELAKA: Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) menjelaskan, semua 56 masjid warisan di negeri ini masih mempunyai nilai asli binaan masing-masing, susulan pembaikan dilakukan tidak menjejaskan bangunan induk.
Pengerusinya, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, semua pemuliharaan dilakukan melalui permohonan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya 1988.
Katanya, penambahbaikan dilakukan tidak menjejaskan bangunan induk serta kolah mengambil air sembahyang yang diwartakan.
“Penambahbaikan seperti membesarkan ruang solat atau pertambahan bangunan dilakukan tanpa menafikan kepentingan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya 1988.
“Sekiranya ia melibatkan bangunan induk, kita memastikan ia dipulih menggunakan bahan yang setara mengikut spesifikasi disyorkan pihak konservator atau berwajib,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan, sebanyak 55 buah masjid warisan berusia lebih 100 tahun di negeri ini didakwa hilang nilai aslinya apabila disentuh dengan nilai tambah baharu, ketika proses pemuliharaan.
Perkara itu didedahkan konservator, Kamaruddin Md. Said yang memberitahu, kini hanya sebuah sahaja masjid lama masih kekal dengan nilai sejarahnya iaitu Masjid Kampung Kling di Jalan Tukang Emas.
Akramuddin berkata, penambahan bangunan yang dilakukan di masjid adalah selari dengan pertambahan atau kepadatan jemaah di setiap kariah.
“Sebagai contoh Masjid Kampung Hulu diubah suai kerana jumlah jemaah semakin ramai, namun bangunan induknya tidak disentuh.
“Ada tiangnya sudah berpintal kita biarkan, bumbung dan salur bayunya digantikan, namun masih mengekalkan bentuk asal,” jelasnya. – UTUSAN