BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perancangan jangka panjang perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang berlaku setiap kali musim perayaan.
Perdana Menteri berkata, masalah tersebut perlu diberikan perhatian dan diatasi untuk memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.
“Untuk masa depan saya percaya Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) mempunyai perancangan jangka panjang mengatasinya.
“Bagaimanapun tanggungjawab menjaga keselamatan diri terletak kepada kita juga,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera di Dataran Kerayong, di sini hari ini.
Majlis Rumah Terbuka yang dimeriahkan kira-kira 40,000 pengunjung pelbagai kaum itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.
Yang hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Abdul Rahman Mohamad.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, dalam berhadapan dengan kesesakan lalu lintas, orang ramai perlu sama-sama menjaga keselamatan diri dan memandu mengikut peraturan.
Katanya, pengguna jalan raya perlu mendisiplinkan diri dengan memandu secara berhemah dan berhati-hati sepanjang perjalanan di jalan raya atau lebuh raya.
“Jika penat dan mengantuk berhenti dulu, tidur sekejap dalam kereta dan apabila hilang mengantuk boleh teruskan perjalanan, jangan paksa diri untuk sampai cepat,” ujarnya. – UTUSAN