mahu keluar zakat

Penjual santan asnaf, tekad mahu keluarkan zakat pendapatan

SALMAH Ahmad melihat stok kelapa untuk perniagaan santan diusahakannya di Kampung Chuai, Rembau baru-baru ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang penerima bantuan bantuan zakat yang kini mengusahakan jualan santan, berhasrat untuk mengeluarkan zakat pendapatannya sendiri suatu hari nanti.

Salmah Ahmad, 61, dari Kampung Chuai, di sini berkata, dia merupakan seorang asnaf yang menerima bantuan zakat bulanan dari Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Walaupun begitu, dia tidak berhenti berusaha mencari pendapatan sendiri bersama suaminya, Abdul Manap Dahalan dan sejak enam tahun lalu, dia memulakan perniagaan menjual santan dengan menggunakan mesin perahan santan yang disewa daripada jirannya.

Dia kemudiannya menerima bantuan aset perniagaan dari pihak MAINS baru-baru ini berupa mesin perah santan dan mesin kukur kelapa bernilai RM6,460 beserta modal perniagaan tambahan berjumlah RM1,500 melalui amanah zakat MAINS.

“Sejak dari dulu lagi saya kerja dengan orang yang mengusahakan katering. Bagaimanapun selepas mengalami masalah kesihatan dan sukar berjalan, saya tetap berusaha membuat kuih untuk dijual di beberapa kedai dan gerai berdekatan rumah.

“Bagi saya, walaupun pendapatan dan untung RM15 sehari pun sudah memadai daripada tidak berbuat apa-apa. Apabila ada peluang menjual santan walaupun terhad, saya tidak mensia-siakan peluang ini.

“Alhamdulillah, perniagaan saya semakin baik. Insya-Allah sekiranya pendapatan kami sekeluarga konsisten serta mengizinkan, saya harap dapat keluar dari kategori asnaf dan kemudian dapat pula mengeluarkan zakat supaya rezeki dapat dikongsikan pula dengan orang lain,” katanya baru-baru ini.

Salmah sementara itu berkata, dia sangat berbesar hati apabila perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan itu juga turut membantu penduduk setempat terutamanya semasa musim perayaan.

“Kalau jualan hari biasa satu hari hampir 25 kilogram dengan harga RM11 sekilogram. Pada sambutan Aidilfitri lalu, saya menjual hampir lima tan santan bagi tempoh empat hari sahaja. 

“Saya juga malah dapat mengupah beberapa orang pekerja terdiri daripada penduduk kampung bagi sama-sama membantu saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN