KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau memana-mana peniaga ayam yang melanggar harga siling RM8.90 sekilogram yang ditetapkan.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, kerajaan tidak sesekali berkompromi dan akan mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang dikesan gagal mematuhi harga maksimum tersebut.
“Jika tiada laporan sekali pun tindakan tetap diambil terhadap peniaga yang menjual melebihi harga siling.
“Hal itu kerana tindakan kita bukan berdasarkan laporan semata-mata tetapi menerusi pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas Program Pemukiman Hala Tuju Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP) Semenanjung Malaysia 2022 di sini malam tadi.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan harga ayam yang dijual di pasar-pasar sekitar daerah ini melambung antara RM12 hingga RM14 sekilogram akibat kekurangan bekalan.
Seorang peniaga di Pasar Chabang Tiga, Wali Ridzuan Hudin Abdul Manan, 36, berkata, harga itu dijangka terus meningkat berikutan situasi semasa yang didakwanya makin kritikal.
Katanya, rata-rata peniaga terpaksa menjual pada harga mahal susulan kos dikenakan pembekal yang berterusan naik termasuk kelmarin meningkat lagi 30 sen.
Sementara itu, Rosol berkata, situasi kekurangan bekalan ayam dan harga yang melambung tinggi difahamkan akan pulih menjelang awal bulan depan.- UTUSAN