MELAKA: Pengusaha bas sekolah di Melaka diminta bersabar dan terlebih dahulu berbincang dengan kerajaan negeri sebelum membuat sebarang keputusan mengenai isu kenaikan tambang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, pihaknya akan mengadakan satu perjumpaan khas bersama pengusaha bas sekolah minggu depan bagi membincangkan isu tersebut.
Katanya, kenaikan tambang sekitar RM15 sehingga RM25 yang dikata akan dikenakan bermula Jun ini di beberapa negeri termasuk Shah Alam, Selangor dan Johor Bahru, Johor adalah terlalu mendadak.
“Saya minta pengusaha bas sekolah Melaka untuk ‘bersabau’ (bersabar), saya yakin isu ini boleh berbincang dan kita akan berjumpa dengan mereka minggu depan.
“Janganlah mana-mana pihak membuat keputusan mengejut, berikan sedikit masa untuk rakyat bertenang selepas terkesan akibat Covid-19 dan kini peningkatan harga keperluan asas pula,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pengkalan Batu di sini, semalam.
Terdahulu, media melaporkan Persatuan Bas Sekolah Selangor Putrajaya Dan Kuala Lumpur (PBSSPKL) memaklumkan, berkemungkinan tambang akan dinaikan sekitar RM15 sebulan. – UTUSAN