RAUB: Seorang pengumpul duit syiling teruja dan tidak menyangka Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melayani permintaannya mendapatkan tandatangan Seri Paduka di atas kepingan duit syiling kenangan khas baginda.
Ahmad Salehuddin, 40, memiliki dua keping duit syiling peringatan diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping 7.96 gram yang hanya dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak 300 keping sahaja pada 30 Julai 2019.
Duit syiling khas tersebut sempena pertabalan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Ketika ditemui pemberita, Ahmad berkata, apabila mengetahui Yang di-Pertuan Agong mencemar duli ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Yayasan Al-Sultan Abdullah (Yasa) di Kampung Tanjung Putus, dia membawa kepingan duit syiling khas tersebut semata-mata untuk mendapatkan tangatangan Seri Paduka secara eksklusif.
“Sebenarnya saya mewakili makcik saya untuk menerima sumbangan daripada Al-Sultan Abdullah. Tapi, saya ambil kesempatan bawa duit syiling untuk baginda tandatangan. Tidak sangka pula Seri Paduka sudi tandatangan.
“Mungkin saya seorang sahaja yang ada tandatangan eksklusif daripada Agong, itu cukup membanggakan bagi saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tanjung Putus di sini hari ini.
Ahmad yang mempunyai hobi mengumpul pelbagai duit syiling sejak 20 tahun lalu berkata, dia membeli duit syiling peringatan sempena pertabalan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dua tahun lalu melalui rakannya dengan harga RM100 sekeping.
Katanya, selepas ini, harga kepingan duit syiling peringatan itu mungkin akan melonjak tinggi namun setakat ini, dia tidak terfikir untuk menjualnya sebaliknya akan menyimpan sebagai kenangan.
“Bukan mudah untuk mendapatkan tangatangan secara eksklusif ni. Mungkin ada peminat pengumpul syiling lain yang akan teruja dan berminat untuk mendapatkan syiling ini, tapi saya akan simpan dulu.
“Mungkin pada masa akan datang saya akan jual tapi tengoklah pada harga yang ditawarkan. Itu pun bergantung pada kerelaan hati saya juga. Kalau dah sayang, mustahil lah saya nak lepaskan pada orang lain,” ujarnya.
Ahmad dalam pada itu memberitahu, sehingga kini dia sudah mempunyai ratusan duit syiling yang masing-masing mempunyai keunikan tersendiri. – UTUSAN