KEPALA BATAS: “Kami tidak membantah sebarang projek pembangunan di Bertam. Cuma kami pasti tidak ada sebarang kawalan jika asrama pekerja asing dibina di sini. Tidak ada jaminan juga daripada pihak konsultan berhubung isu keselamatan penduduk setakat ini.”
Itu kata wakil penduduk Gabungan Komuniti Bandar Putra Bertam, Mohd. Fahmi Abdul Rejab berhubung cadangan pembinaan asrama pekerja asing yang didakwa dirancang di kawasan itu.
Menurut Mohd. Fahmi, majoriti penduduk akan terjejas sekiranya projek tersebut dilaksanakan kerana terdapat banyak kawasan kediaman termasuk yang sedang dibangunkan di sekitar Bertam ketika ini.
Katanya, penduduk difahamkan apabila projek pembinaan asrama pekerja itu siap kelak, ia mampu menempatkan lebih 17,000 warga asing di situ.
“Selain isu keselamatan, apa yang menjadi kerisauan penduduk ialah tiada sebarang jaminan kesihatan diberikan oleh mana-mana pihak berhubung perkara ini. Kami bimbang kepadatan yang tinggi akan menyebabkan risiko penyebaran penyakit berjangkit lebih tinggi,” katanya.
Terdahulu, Mohd. Fahmi mengetuai lebih 50 penduduk, wakil persatuan penduduk serta ahli kariah masjid di kawasan itu mengadakan bantahan aman berhubung cadangan pembinaan asrama pekerja di tapak projek yang dicadangkan iaitu berhampiran Taman Mekarsari di sini, hari ini.
Cadangan pembinaan asrama pekerja itu yang turut dikenali sebagai Pembangunan Kuarters (Penginapan) Pekerja Berpusat atau Centralized Labour Quarters (CLQ) sebelum ini mendapat bantahan pelbagai pihak kerana dianggap boleh mengganggu ketenteraman serta keselesaan penduduk.
Dalam pada itu, Mohd. Fahmi memberitahu, selain impak sosial termasuk keselamatan dan kesihatan, kewujudan asrama pekerja itu juga dikhuatiri akan menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas serta keselamatan jalan raya susulan pertambahan kenderaan berat industri yang keluar masuk ke kawasan terbabit.
Pada masa sama katanya, risiko pencemaran sama ada air, udara atau bunyi juga boleh mengganggu penduduk setempat.
“Sehubungan itu, kami memohon kepada MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) supaya menangguhkan kebenaran merancang sehingga isu asrama dan ‘relocate’ (penempatan baharu) selesai,” katanya.
Tambah Mohd. Fahmi, surat bantahan secara bertulis juga telah dihantar kepada pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang serta agensi yang terlibat Khamis lepas untuk tindakan lanjut. – UTUSAN