PORT DICKSON: Seorang pembantu tadbir kerugian RM38,480 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, Ahad lalu, mangsa wanita berusia 46 tahun itu menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenal diri daripada syarikat penghantaran barang.
“Mangsa dimaklumkan terdapat bungkusan barang terlarang atas namanya tetapi menafikan perkara ini dan dimaklumkan berkemungkinan maklumat dirinya disalah guna.
“Panggilan kemudian disambungkan kepada pegawai polis, ‘ASP Wong’ daripada Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan kali ini mangsa dimaklumkan terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aidi Sham berkata, suspek telah meminta mangsa menyerahkan maklumat perbankan dalam talian iaitu ‘username’ dan kata laluan bagi empat akaun banknya.
Tambah beliau, mangsa yang bimbang telah menyerahkan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) yang diterima untuk tujuan pemindahan wang kepada ‘pegawai polis’ tersebut.
“Namun, mangsa mula berasa curiga apabila diminta memasukkan wang dan apabila semakan dibuat, mangsa mendapati wang berjumlah RM38,480 dalam empat akaun banknya dipindahkan ke dalam akaun yang tidak dikenal pasti.
“Mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN