PETALING JAYA: Polis sedang mengesan pemandu Perodua Mvyi melakukan halangan terhadap pemandu lain yang tular di media sosial hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 27 saat dimuat naik di Facebook memaparkan Perodua Myvi sedang membuat provokasi dan menghalang kenderaan lain.
Menurutnya, JSPT Kuala Lumpur sudah mengambil tindakan mengesan pemilik dan pemandu kenderaan yang terbabit.
“Pohon mangsa (pemilik video) dan saksi kejadian untuk tampil ke Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee bagi membantu siasatan.
“Kita percaya kereta Perodua Myvi terbabit dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Inspektor M. Vigneswara di talian 0174336110 atau Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 0320260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran.
Hari ini tular kereta Perodua Myvi dilihat menghalang kenderaan lain dipercayai berlaku di Lebuh Raya Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini.
Video dirakam pengguna jalan raya itu memaparkan pemandu itu turut melakukan provokasi dengan menunjukkan dipercayai kayu terhadap perakam video tersebut. – UTUSAN










