SUNGAI PETANI: Seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal ditunggang bersama rakannya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Jalan Spice Village-Taman Kelisa di sini, malam semalam.
Dalam kejadian pada jam 11.15 malam itu, mangsa, Mohamad Nor Alif Firdaus Afzanizan, 12, maut di tempat kejadian manakala pembonceng, Muhamad Alwi Muhaimin Rizaudin, 12, yang cedera di kepala dan badan menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal jenis SYM Bonus ditunggang dua rakan terbabit melanggar pembahagian jalan di laluan tersebut.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati dua pelajar tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal dari arah Spice Village 1 ke Taman Kelisa.
“Motosikal ditunggang laju oleh Mohamad Nor Alif Firdaus kemudiannya terbabas dan hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi kiri jalan dan kedua remaja itu tercampak ke tengah jalan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HSAH untuk bedah siasat, dan pembonceng motosikal menerima rawatan di hospital sama.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN