JOHOR BAHRU: Lelaki orang kurang upaya (OKU) yang ditahan polis kerana cuba menculik seorang kanak-kanak semalam dikenakan perintah tahanan reman selama empat hari bermula hari ini.
Perintah reman itu diberikan oleh Pendaftar Mahkamah Johor Bahru, Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna ungu sambil dikawal polis tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada pukul 9.13 pagi.
Lelaki berusia 20-an itu ditahan orang awam di sebuah restoran makanan segera di Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada pukul 11.30 pagi, semalam.
Suspek yang merupakan pemegang kad OKU akibat masalah mental turut positif dadah jenis methamphetamine melalui ujian saringan air kencing yang dijalankan.
Dalam kejadian itu, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun diculik suspek yang menaiki motosikal ketika sedang berjalan kaki di Sekolah Agama Taman Scientex.
Suspek bertindak mempelawa mangsa menaiki motosikal dengan alasan mahu menghantarnya pulang ke rumah.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat juga memaklumkan, suspek merupakan orang dikehendaki di bawah kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu, orang ramai digemparkan dengan kejadian penculikan itu selepas tular rakaman video dan gambar seorang lelaki yang memakai kemeja-T lengan panjang berwarna putih mendukung kanak-kanak berkenaan di Taman Kota Masai. – UTUSAN










