Norazian ‘hilang’ anak lebih 30 tahun akibat kemiskinan - Utusan Malaysia

Norazian ‘hilang’ anak lebih 30 tahun akibat kemiskinan

NORAZIAN Mohamad termenung sambil memegang baju rayanya di Rumah Sejahtera Taman Bahagia di Bukit Payung, Marang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Desakan hidup selepas kematian suami lebih 30 tahun lalu memaksa seorang warga emas melepaskan tiga anaknya yang masih kecil termasuk bayi berusia 30 hari kepada orang lain.

Norazian Mohamad, 64, bukan sahaja terputus hubungan, malah tidak pernah berjumpa kesemua zuriatnya yang kini berusia antara 30 hingga 40-an termasuk anak bongsu yang difahamkan lepasan sebuah institusi pendidikan di Mesir.

Dia yang menetap di Rumah Sejahtera Taman Bahagia di Bukit Payung di sini sejak 2019, hanya mampu memendam rindu di samping berdoa agar diberikan keajaiban untuk bersatu kembali dengan ahli keluarganya.

Norazian yang merupakan anak jati Kampung Kubang Terap di Kuala Terengganu mengakui gagal menunaikan permintaan terakhir Allahyarham suami untuk membesarkan anak-anak ha­nya disebabkan isu kemiskinan.

Katanya, kesemua tiga zuriatnya dijaga individu berbeza dengan anak kedua iaitu lelaki diambil keluarga suami di Si­ngapura bagi memudahkan urusannya bekerja di sebuah kilang di Johor Bahru, Johor.

“Suami meninggal dunia akibat barah otak ketika saya melahirkan anak bongsu dan selepas habis berpantang, saya kerja kilang untuk menyara keluarga.

“Larangan membawa kanak-kanak di asrama mendorong saya menyerahkan dua anak perempuan kepada sebuah ke­luarga di Benut sebelum seorang daripadanya diambil kakak saya untuk diberikan kepada kena­lannya di Pahang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Norazian berkata, sepanjang ‘perpisahan’ itu, dia bekerja keras mengumpul duit termasuk merantau ke Selangor dan Kuala Lumpur dengan kerjaya terakhir sebagai pembantu rumah sebelum kembali ke Terengganu, tiga tahun lalu.

Katanya, keputusan pulang ke kampung halaman itu dibuat ke­rana kesihatan yang merosot akibat penyakit kencing manis de­ngan tiga jari kaki dipotong.

Dia terpaksa menumpang di rumah ahli keluarga dan saudara sebelum ke Rumah Sejahtera semata-mata kerana tidak mahu membebankan orang sekeli­lingnya.

Menurut Norazian, sebahagian besar usianya dihabiskan dengan hidup bersendirian dan akur jika hayatnya berakhir di pusat perlindungan itu tanpa sempat menatap wajah anak-anaknya.

“Hidup kita berputar macam roda, saya tidak pernah merasai kasih sayang ibu kandung kerana dipelihara emak saudara di Pahang sejak kecil. Situasi itu berulang kepada anak-anak saya pula. Di sebalik harapan mahu mereka datang, sebenarnya hati saya sudah tawar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN