PETALING JAYA: Semua pelan ekonomi negara akan gagal sekiranya isu ketirisan dan kerenah birokrasi dalam pelaksanaan rancangan yang dirangka tidak dihapuskan sepenuhnya.
Penganalisis-penganalisis turut berpandangan, Malaysia perlu menilai semula rancangan-rancangan ekonominya bagi mendepani cabaran ketidaktentuan ketika ini dan akan datang khususnya sejak dunia dilanda virus Covid-19 dan terkini, perang Russia-Ukraine.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kerajaan perlu sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap dasar-dasar semasa bagi memastikan perancangan tersebut berada di atas landasan sebenar.
Menurut beliau, ini termasuk melihat aspek kelemahan pelan itu sama ada wujud ketirisan dan kerenah birokrasi sehingga menjejaskan pelaksanaan rancangan berkenaan atau boleh menguntungkan rakyat.
Koordinasi
“Kita sudah mempunyai banyak dasar, tetapi paling penting adalah koordinasi terhadap pelaksanaannya supaya hasrat pelan ekonomi itu menepati sasaran. Masalah tidak akan selesai jika isu ketirisan dan birokasi berulang, sekalipun kita memperkenalkan dasar baharu.
“Kajian mendalam perlu dilakukan terhadap sebarang penambahbaikan agar segala pelan ekonomi itu tidak memberi kesan lain selepas dilaksanakan kelak,” katanya.
Semalam, Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar menerusi Minda Pengarangnya mengemukakan keperluan agar negara mempunyai pelan ekonomi atau blueprint jangka panjang yang akan melonjakkan negara ke taraf global.
Kata Azlan, dunia dan Malaysia lebih 24 bulan dilanda pandemik Covid-19 sekali gus memberikan kesan kepada kehidupan manusia dan menuntut satu pelan baharu yang mampu memberi keyakinan untuk generasi masa depan.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, negara tidak memerlukan pelan baharu, sebaliknya dua dasar terkini iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dilancarkan pada 2021 sudah sedia wujud.
Kata beliau, apa lebih penting sekarang adalah menambah baik dasar-dasar sedia ada itu dengan mengambil kira cabaran terkini dialami oleh Malaysia sama ada di peringkat domestik dan global.
“Selain itu, kita juga ada beberapa dasar yang baharu dilaksanakan sejak setahun dua lepas seperti Dasar Agromakanan Negara 2021-2030, Dasar Pelancongan Negara 2020-2030, Dasar Automotif Negara 2020 dan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030,” katanya.- UTUSAN










