SEREMBAN: Tindakan sebuah akaun TikTok menggunakan nama kadgalericinta yang memuat naik papan hiasan tertera nama Muhammad Bilal mengundang rasa ingin tahu netizen.
Nama Muhammad Bilal itu sama dengan nama anak pasangan selebriti, Noor Neelofa Mohd. Noor dan Muhammad Haris Mohd. Ismail yang lahir pada 29 Januari lalu.
Pemilik perniagaan cenderahati, Kad Galeri Cinta, Nurul Nabihah Jaaffar, 38, berkata, dia sendiri tidak dapat mengesahkan sama ada papan hiasan berkenaan ditempah oleh mana-mana individu mahupun oleh pasangan selebriti itu sendiri kerana tempahan tersebut diterimanya secara dalam talian.
“Bagi tempahan tertera nama Muhammad Bilal tersebut yang turut tertulis Majlis Akikah dan Kesyukuran yang bakal diadakan pada Sabtu, 28 Mei nanti. Tempahan diterima pada 15 Mei lalu melalui Instagram dari sebuah pusat tahfiz di Kuala Lumpur.
“Tidak pasti sama ada ia anak pasangan selebriti berkenaan atau hanya kebetulan sahaja namanya sama. Apa yang pasti kami menerima banyak sangat reaksi netizen yang sangat teruja serta ingin tahu sama ada papan hiasan berkenaan benar-benar untuk anak selebriti tersebut,” katanya yang beroperasi di Senawang ketika dihubungi hari ini.
Neelofa selamat melahirkan Muhammad Bilal di sebuah pusat perubatan di ibu negara pada 29 Januari lalu.
Bagaimanapun, sehingga kini wajah Muhammad Bilal belum didedahkan kepada umum.- UTUSAN