JOHOR BAHRU: Bekas Naib Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli menang di kesemua 26 cabang parti itu di negeri ini bagi merebut jawatan Timbalan Presiden mengatasi Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Mohd. Rafizi memperoleh 4,022 undi, jauh mengatasi Setiausaha Agung PKR itu yang hanya mendapat 1,062 undi.
Di Cabang Tebrau misalnya, 576 ahli memilih Mohd. Rafizi berbanding 119 yang memberi undi kepada Saifuddin, selain Cabang Batu Pahat yang menyaksikan 412 undi memihak Mohd. Rafizi manakala pencabarnya 197 undi.
Hanya lima cabang yang Saifuddin dilihat mampu memberi saingan apabila tewas dalam angka yang kecil kepada Mohd. Rafizi, berbanding baki 21 cabang lagi yang menyaksikan jurang besar kekalahan beliau.
Sementara itu, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh akhirnya menang bagi jawatan Ketua Cabang Ledang selepas mudah menewaskan lawannya, Muhammad Azhar Hafiz Mohd. Shafi’e dengan 127 undi berbanding 7 undi.
Syed Ibrahim tewas perebutan jawatan itu pada 2018 apabila beliau dikalahkan penyandang jawatan itu, Dr. Chong Fat Full yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Ogos 2020.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik yang menyertai PKR pada November tahun lalu menang sebagai Ketua Cabang Simpang Renggam setelah memperoleh 109 undi dalam pemilihan berkenaan.
Seramai 62,404 ahli PKR layak memilih di negeri ini termasuk mereka yang dikategorikan sebagai Pemilih Atas Talian (PAT) sementara proses pengundian di Johor berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan. – UTUSAN