PUTRAJAYA: Hanya tinggal 16 jam sahaja pendakian untuk menawan puncak tertinggi dunia, namun usaha itu terhalang akibat cuaca buruk.
Itu perkembangan terkini, Misi Keluarga Everest 2022 (KAME 2022) yang disertai empat pendaki negara.
Salah seorang daripada mereka, Muhammad Hawari Hashim, 32, yang juga orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu berkata, beliau bersama tiga pendaki lain diarahkan berpatah balik oleh ketua malim gunung pada 22 Mei lalu.
Katanya, ketua malim gunung memaklumkan keadaan angin kencang disusuli ribut salji mencecah kelajuan 54 kilometer (km) sehingga 70 km per jam.
“Ketika itu, kami berada pada kedudukan kira-kira 7,600 meter (m) dari paras laut (8,849m ketinggian Everest) di yellow band antara kem tiga dan kem empat selain hanya memerlukan anggaran masa 16 jam untuk tiba di puncak tertinggi dunia itu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, pihaknya terpaksa menangguhkan pendakian kerana ada antara pendaki mengalami masalah simpton buta salji dan radang dingin.
Sementara itu, Ketua Misi KAME 2022, Azim Afif Ishak, 32, yang juga pendaki Everest 2016 berkata, misi ini sebenarnya mampu direalisasikan, namun terpaksa akur apabila berhadapan faktor cuaca di luar jangkaan.
“Kita menerima maklumat pihak kaji cuaca Nepal yang memaklumkan pada bulan ini salji juga mula mencair awal dan aktiviti pendakian ke puncak Everest ditutup hujung bulan ini atas faktor keselamatan,” katanya.
Katanya, misi yang mendapat sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu terpaksa ditangguhkan ke Mac tahun.
Mengikut jadual, KAME 2022 memulakan misi termasuk latihan pada 17 April lalu dan dijadualkan berakhir pada 5 Jun ini.
Tiga pendaki lain Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Awang Askandar Ampun Yaacub, 54; Koperal Pragash Murugesu, 32, dari Kem Ulu Kinta, Perak dan pakar teknologi maklumat, Oh Jin Heng (Jack), 37.- UTUSAN










