SEREMBAN: Sudah tiba masanya untuk kesemua ahli PKR memberikan tumpuan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas Pemilihan PKR 2022 selesai kelmarin dengan barisan kepemimpinan baharu telah dipilih.
Pandangan itu daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang secara tidak rasmi memenangi salah satu daripada empat kerusi Naib Presiden PKR dalam pemilihan tersebut.
“Kepada yang gagal untuk mempertahankan jawatan juga boleh meneruskan sumbangan, kerana yang penting untuk parti selepas ini adalah untuk menyusun semula parti dengan lebih baik.
“Harus tumpu segala kudrat dan segala jentera untuk pastikan parti kita berjaya dalam PRU15, itu yang penting,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Petronas (Negeri Sembilan) di sini hari ini.
Dalam keputusan tidak rasmi semalam, empat calon yang memenangi jawatan Naib Presiden PKR ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari, Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Aminuddin.
Keputusan rasmi pemilihan PKR akan diumumkan pada 25 Jun dan 26 Jun depan ketika berlangsungnya Kongres Nasional PKR 2022.
Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan berkata, parti itu akan melakukan penyusunan semula gerak kerja di peringkat negeri.
“Mesej ahli dari Negeri Sembilan, adalah untuk kami menyusun semula dan harap ini dapat diterima oleh semua.
“Kami juga berharap dengan penyusunan parti di peringkat ini juga dapat menguatkan parti kita pada masa akan datang. Banyak kali saya ingatkan, pertandingan ini merupakan pertandingan keluarga yang mana kita harus kembali untuk kuatkan parti,” katanya.
Beliau yang juga memenangi Ketua Cabang PKR Port Dickson berterima kasih kepada semua ahli PKR yang menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam Pemilihan PKR kali ini.
“Terima kasih kepada semua ahli Keadilan yang telah mengundi, tidak kira siapa yang mereka undi. Mereka telah jalankan tanggungjawab dan itu yang amat penting,” katanya. – UTUSAN










