berjaya perangi Covid-19

Malaysia hampir berjaya perangi Covid-19 – PM

ISMAIL Sabri Yaakob menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Perubatan daripada Dr. Naoto Kato di Universiti Nihon, Tokyo, Jepun. - PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia kini sudah hampir berjaya memerangi pandemik Covid-19 apabila negara sudah membuka pintu sempadan mulai 1 April lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, malah, prosedur operasi standard sudah mula dilonggarkan sejak awal bulan ini seperti pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan di kawasan tertutup dan tiada lagi penjarakan fizikal sekali gus membolehkan semua  sektor ekonomi dibuka sepenuhnya. 

Dalam ucapannya sempena penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Perubatan oleh Universiti Nihon, Tokyo, Jepun hari ini, beliau berkata, kejayaan itu merupakan hasil strategi kesihatan yang berkesan dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) serta sokongan penuh daripada rakyat yang akhirnya berjaya melandaikan lengkung jangkitan pandemik. 

Lebih membanggakan, beliau yang berucap dalam bahasa Melayu memberitahu, Malaysia juga diiktiraf antara negara terbaik dalam menangani pandemik oleh beberapa agensi seperti Bloomberg dan Nikkei.  

“Kini Malaysia telah mencapai 95 peratus populasi dewasa negara yang menerima dua dos  lengkap vaksin. Namun begitu, kami sedar bahawa selagi dunia belum mencapai kadar peratusan vaksinasi sepadan, pandemik Covid-19 akan terus melambatkan usaha pemulihan ekonomi global.  

“Tambahan pula, kedudukan Malaysia sebagai salah satu daripada 25 negara perdagangan  teratas di peringkat global mendedahkan kami kepada sebarang perkembangan yang  menjejaskan pengeluaran dan keupayaan logistik di seluruh dunia,” katanya.

Terdahulu, beliau menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Perubatan daripada Presiden Universiti Nihon, Dr. Naoto Kato di hadapan tetamu-tetamu kehormat, ahli-ahli fakulti serta kakitangan universiti itu. 

Ismail Sabri kini berada di Jepun dalam rangka lawatan kerja beliau ke negara berkenaan hingga 28 Mei ini sebagai satu kepentingan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun.

Mengulas berhubung penganugerahan itu, Ismail Sabri menyifatkan ia merupakan satu pengiktirafan besar bukan hanya untuk beliau tetapi buat seluruh Keluarga Malaysia yang membuktikan keupayaannya menangani pandemik dengan cara sendiri.  

Perdana Menteri turut mengimbau bagaimana kerajaan sejak Mac 2020 menangani pandemik ketika beliau diamanahkan sebagai Menteri Kanan Pertahanan Kluster Keselamatan yang bertanggungjawab menerajui serta mempengerusikan mesyuarat khas menteri-menteri dalam memerangi ancaman pandemik.  

Bermula detik itu, katanya, seluruh kekuatan dan aset digembleng secara bersama terutama  agensi-agensi kerajaan termasuk pasukan kesihatan dan keselamatan selaku barisan hadapan selain memaksa kerajaan bertindak tegas pada peringkat awal dengan melaksanakan PKP bagi memutuskan rantaian Covid-19 serta melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada semua supaya sentiasa berganding bahu kerana  ancaman pandemik masih belum berakhir, malah masyarakat masih berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu seperti perubahan iklim yang memberikan ancaman bencana alam yang dahsyat seperti kemarau dan banjir besar.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya