Mahu cepat kaya, penjawat awam rugi RM21,550 - Utusan Malaysia

Mahu cepat kaya, penjawat awam rugi RM21,550

AHMAD ADNAN BASRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Gara-gara ingin cepat kaya, seorang penjawat awam berputih mata apabila wang simpanan  RM21,550 lesap ditipu sindiket pelaburan Forex, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 37 tahun itu mendakwa dia tertarik melihat iklan pelaburan itu yang menawarkan keuntungan lumayan di laman sesawang Facebook.

Menurut beliau, mangsa kemudian berhubung dengan seorang lelaki melalui aplikasi Telegram dan WhatApps.

“Mangsa telah memilih pakej ‘gold’ yang menjanjikan keuntungan 120 peratus dalam masa enam jam setelah menjadi ahli melalui modal yang diberikan oleh lelaki itu sendiri.

“Selain itu, pakej tersebut juga dikatakan patuh syariah dan menyebabkan mangsa tertarik dan yakin dengan tawaran yang dijanjikan oleh sindiket penipuan berkenaan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang bersetuju dengan tawaran itu telah membuat tiga transaksi berjumlah RM21,550 melalui pindahan wang dari akaun bank lelaki itu ke dalam akaun bank CIMB.

“Transaksi pertama sebanyak RM3,000 sebagai yuran keahlian dan modal pelaburan manakala transaksi kedua berjumlah RM5,800 bagi tujuan pengaktifan akan bank.

“Mangsa juga membuat transaksi wang sebanyak RM12,550 bagi tujuan yuran tukaran wang USD dengan ringgit Malaysia,” katanya.

Kata  beliau, mangsa yang telah kehabisan wang berasa ditipu apabila dividen yang dijanjikan  tidak diterima malah panggilannya juga tidak dijawab selain nombor telefonnya turut disekat.

“Dia yang sudah kehabisan wang dan rasa tertipu kemudian membuat laporan polis, semalam untuk tindakan lanjut. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN