MAFI sedia tangani isu krisis makanan ekoran cuaca tak menentu - Utusan Malaysia

MAFI sedia tangani isu krisis makanan ekoran cuaca tak menentu

RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersedia dengan beberapa langkah serta penambahbaikan dalam usaha mengurangkan impak cuaca tidak menentu seperti banjir dan kemarau yang dialami oleh pesawah ketika ini sekali gus mengelakkan daripada berlakunya krisis makanan pada masa hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, selain itu MAFI juga mempunyai peruntukan khas yang boleh diguna pakai untuk menampung kerugian yang mungkin dialami oleh pesawah-pesawah yang berdepan dengan masalah tersebut.

“Begitu juga dengan langkah-langkah ke hadapan yang kita ambil seperti mengenal pasti varieti-varieti (tanaman padi baharu) yang tahan terhadap perubahan cuaca dan ini merupakan kajian serta penambahbaikan yang diambil oleh pihak kementerian ketika ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Ronald, kesan terhadap konflik atau krisis berkaitan makanan bukan sahaja dirasai rakyat di negara ini, malah hampir semua negara turut berdepan dengan isu kekurangan bekalan serta peningkatan kos pengangkutan dan pengeluaran yang menjurus ke arah konflik tersebut.

“Tentu sekali kita mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan kesan itu (kekurangan bekalan dan kenaikan harga barang) kepada rakyat Malaysia.

“Bekalan ayam contohnya, kita meletakkan harga siling sebanyak RM8.90, namun dalam keadaan sedemikian kita terpaksa mengeluarkan subsidi bagi menampung kos pengeluaran yang ditanggung oleh pihak industri,” katanya.

Jelas Ronald, apa yang membezakan Malaysia dengan negara lain ialah kaedah menguruskan impak serta kesan daripada kenaikan kos harga bahan makanan yang sedang berlaku ketika ini.

Sementara itu beliau memberitahu, keputusan kerajaan India untuk menghentikan eksport gandum turut memberi kesan kepada Malaysia yang mengimport bahan makanan tersebut dari negara Asia Selatan terbabit.

Dalam hal ini katanya, pengimport akan mencari alternatif atau sumber gandum dari negara lain.

“Kita tidak menanam gandum tapi kita ada kapasiti untuk menanam jagung serta tanaman lain untuk keperluan sumber makanan negara,” katanya yang memberitahu, masalah tersebut sedang diurus oleh pihak yang berkenaan walaupun terpaksa berdepan peningkatan pelbagai kos berkaitan ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN