LUMUT: Penganggur yang disyaki melarikan isteri orang dan melanggar kereta peronda polis dalam kejadian pagi semalam direman empat hari sehingga Ahad ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki berusia 31 tahun itu direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah agar siasatan lanjut dilakukan terhadapnya.
“Dalam kejadian itu, wanita berusia 34 tahun yang bekerja sebagai juruwang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kereta peronda polis yang dirempuh pula mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kiri manakala anggota polis yang berada di dalamnya tidak mengalami kecederaan.
Dalam kejadian itu, suspek yang memandu kereta milik wanita tersebut merempuh kereta polis dalam usahanya melarikan diri daripada ditahan polis.
Suspek memandu kereta mangsa menghala ke Seri Manjung dalam keadaan berbahaya dan enggan berhenti apabila diarahkan oleh kereta peronda polis yang berada berhampiran sebaliknya terus memecut dan melanggar isyarat lalu lintas.
Sebaik sahaja tiba di hadapan bangunan Toyota, Seri Manjung, kenderaan peronda polis bertindak menghalang jalan, namun suspek melanggar kenderaan itu dan terus memecut laju.
Apabila tiba di hadapan sebuah restoran, suspek menghentikan kereta dan cuba pula mengambil motosikal milik seorang wanita tetapi tidak berjaya memaksa dia kembali masuk ke dalam kereta dengan anggota polis yang tiba kemudian berjaya menahannya selepas berlaku pergelutan.
Suspek disiasat di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seorang wanita bersuami dengan niat jenayah.
Dia juga disiasat mengikut Seksyen 188 kanun sama kerana mengingkari suatu perintah yang diisytiharkan oleh seorang penjawat awam serta Seksyen 186 juga kanun sama kerana menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugas. – UTUSAN