Lawatan PM ke Jepun, buka laluan pelaburan - Utusan Malaysia

Lawatan PM ke Jepun, buka laluan pelaburan

ABDUL RAHMAN Mohamad (kanan) beramah mesra ketika diperkenalkan kepada pemain bola tampar selepas perasmian Kejohanan Bola Tampar Tertutup Lipis di Kampung Dusun di Lipis, Pahang. - UTUSAN:HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Jepun lima hari mampu menjana limpahan kemasukan pelabur asing ke negara ini sekali gus mewujudkan pemindahan teknologi yang akan memberi manfaat kepada penduduk khususnya di luar bandar pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pemindahan teknologi dari negara matahari terbit itu mampu memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar khususnya lepasan vokasional dan universiti dalam bidang usahawan teknikal dan kejuruteraan.

“Sejajar dengan mengeratkan hubungan antara kedua negara menerusi persetujuan menaiktaraf daripada Strategic Partnership‘ kepada ‘Comprehensive Strategic Partnership‘ hasil pertemuan kedua rakan sejawat ini sudah tentulah antara indikasi pihak (negara) Jepun yang dipimpin oleh Perdana Menterinya, Fumio Kishida meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Ismail Sabri.

“Pertemuan di Tokyo yang cukup bersejarah ini antara lain membuka ruang dan peluang kesediaan pelabur negara tersebut termasuk negara lain memulakan pelaburan di Malaysia dalam masa terdekat ini,” katanya  selepas merasmikan Kejohanan Bola Tampar Tertutup Lipis di Kampung Dusun dekat sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd. Farid Mohd. Nor dan Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Dusun, Ibrahim Aziz.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, bagi memastikan keseimbangan ekonomi di kawasan antara bandar dan luar bandar, satu pelan strategi terbaik perlu dirangka supaya peningkatan taraf hidup penduduk khususnya di luar bandar memperoleh manfaat daripada pelaburan luar.

“Cadangan saya supaya kerajaan memfokuskan bidang pendidikan, kemahiran teknologi tinggi dan vokasional serta mengutamakan kesamaan ruang serta peluang bagi penduduk luar bandar dalam usaha menangani cabaran ekonomi di kawasan ini.

“Kita di Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan melihat dengan lebih terperinci strategi yang boleh dirangka supaya rakyat berteraskan Keluarga Malaysia secara keseluruhannya turut menikmati pertumbuhan ekonomi yang semakin berkembang di negara ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya