Laluan CSR Lipis-Merapoh dipenuhi sampah perantau pulang raya - Utusan Malaysia

Laluan CSR Lipis-Merapoh dipenuhi sampah perantau pulang raya

KELIHATAN sampah- sarap memenuhi tepi laluan Central Spine Road (CSR) Lipis - Merapoh berdekatan Kampung Kechau di Lipis, Pahang. - FOTO/IHSAN PENDUDUK KECHAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Penduduk di beberapa buah kampung kawasan Padang Tengku yang berdekatan laluan utama Central Spine Road (CSR), Jalan Lipis ke Merapoh kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengguna terhadap kebersihan apabila sewenang-wenangnya membuang sampah di tepi laluan tersebut.

Hal ini berlaku sejak permulaan cuti Hari Raya Aidilfitri apabila ramai perantau dari Lembah Klang dan arah selatan yang melalui laluan untuk pulang ke kampung di Kelantan dan kawasan berdekatan membuang sampah dari tingkap kenderaan atau yang berhenti rehat di tepi jalan tersebut.

Keadaan itu dapat dilihat sehingga hari ini berdekatan Kampung Kechau, Kampung Relong dan persimpangan Chegar Perah di sini yang dipenuhi plastik bungkusan makanan, polisterin dan kotak minuman sehingga ada sisa makanan dihurungi langau.

Penduduk Kampung Relong, Baharuddin Sa’aid, 63, berkata, sikap ditunjukkan segelintir pengguna jalan raya amat mengecewakan kerana tidak bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati sehingga mengubah landskap tercemar dengan kekotoran di sepanjang laluan tersebut.

“Sejak cuti sebelum hari raya, ramai perantau berkenderaan pulang berhari raya ke negeri Kelantan dan kawasan berdekatan sehingga sewenang-wenangnya membuang sampah di sepanjang laluan ini terutamanya berdekatan dengan Kampung Kechau dan Ladang Selborne yang berdekatan dengan laluan CSR.

“Menjelang Hari Raya Aidilfitri pemandangan kawasan laluan ini mulai berubah apabila dipenuhi sampap-sarap,” katanya di Kampung Relong di sini hari ini.

Menjangkakan

Penduduk Kampung Kechau, Ismail Rahman, 45, berkata, mereka sudah menjangka senario yang sama akan berulang setiap kali menjelang dan selepas Aidilfitri kerana ramai perantau pulang ke Kelantan dan pantai timur serta kembali ke tempat kerja selepas itu.

“Saya tidak berniat menyalahkan pengguna yang berulang-alik di laluan CSR ini dan cuma beranggapan segelintir sahaja daripda mereka yang membuang sampah. Seeloknya ubahlah sikap lebih positif dan sayangkan kemudahan ini dengan amalan menjaga kebesihan.

“Penduduk di sini juga menggunakan laluan CSR sejak dibuka lima tahun lalu berulang-alik ke Merapoh dan Gua Musang, Kelantan termasuk penduduk di sana (Merapoh) keluar berbelanja ke bandar Kuala Lipis dan kecewa melihat pemandangan ‘terganggu’ dengan sampah-sarap di tepi jalan ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berharap pengguna laluan CSR Lipis – Merapoh wajar menjaga kebersihan sepertimana jalan raya dan lebuh raya di negeri lain.

“Walaupun selepas hari raya ini, laluan ini akan dibersihkan oleh pekerja kebersihan dan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan, tetapi sikap kebertanggungjawaban dan mengutamakan nilai kebersihan merupakan amalan Islam amat ditagih supaya laluan ini sentiasa bersih serta ceria tanpa sampah,” ujarnya.

Jelasnya, menjaga kebersihan laluan CSR Lipis – Merapoh termasuk di lebuh raya lain merupakan tanggungjawab bersama malahan amalan murni berkenaan dapat menjimatkan kos penyelenggaraan mengangkut sampah dan pada masa yang sama lokasi di situ ceria mampu menyenangkan mata memandang.- UTUSAHaris

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN