Lagi data peribadi awam dijual

Lagi data peribadi awam dijual

VICTOR SANJOS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu kebocoran data peribadi awam bukan pertama kali berlaku di negara ini dan terbaharu, lebih 22 juta data peribadi rakyat Malaysia serta swafoto pengesahan kad pengenalan milik 800,000 individu sekali lagi dikesan dijual di laman sosial.

Lebih membimbangkan, penjualan data peribadi awam kononnya diperoleh melalui Application Programming Interfaces (API) yang dihasilkan untuk myIDENTITY di bawah seliaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dipercayai dilakukan pihak sama yang menjual maklumat milik empat juta rakyat Malaysia tahun lalu.

Memberitahu Utusan Malaysia mengenai perkara itu, Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata, tiada sebarang laporan mengenai kebocoran maklumat di mana-mana agensi kerajaan berlaku setakat ini.

Namun, kata beliau, siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman sekiranya terdapat kebocoran maklumat seperti didakwa.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya di sini.

Ditanya punca mengapa kes seumpama itu berlaku, Victor menjelaskan, sikap masyarakat yang gemar berkongsi data peribadi terutama ketika mendaftar sesuatu perkhidmatan tidak mustahil menjadi faktor maklumat tersebut disalahgunakan pihak tertentu.

Jelas beliau, sebagai contoh, maklumat peribadi yang diberi kepada mana-mana pihak untuk memohon sesuatu perkhidmatan atau pembelian yang memerlukan pelanggan memberikan butiran data peribadi mereka.

“Tanpa sedar masyarakat sendiri yang mendedahkan data peribadi seperti nama penuh, alamat rumah, alamat tempat kerja, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan nombor kad kredit yang boleh digunakan oleh pihak yang mempunyai akses terhadap data tersebut,” jelasnya.

Terdahulu, satu laporan portal teknologi dan telekomunikasi melaporkan, terdapat 22.5 juta rekod yang diperoleh daripada JPN, meliputi seluruh populasi dewasa di Malaysia yang dilahirkan antara 1940 hingga 2004 dijual.

Rekod tersebut bukan sahaja mengandungi nama penuh tetapi nombor kad pengenalan, nombor telefon bimbit, alamat penuh, jantina, bangsa, agama, dan gambar dalam kad pengenalan.

Bagi membuktikan bahawa data tersebut adalah sah, penjual turut menyediakan sampel rekod milik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Turut dilampirkan gambar kad pengenalan beliau.

Bagaimanapun, Hamzah menafikan maklumat dijual itu diperoleh daripada data JPN, sebaliknya data tersebut mungkin maklumat pelanggan beberapa syarikat yang dikumpul tetapi didakwa sebagai daripada JPN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN