Ladang ganja diplomat: Kertas siasatan sedang dilengkapkan - Utusan Malaysia

Ladang ganja diplomat: Kertas siasatan sedang dilengkapkan

THAILAND membenarkan penanaman ganja di rumah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang bekas diplomat bersama anak lelakinya yang ditahan berikutan penemuan kira-kira 100 pokok ganja yang ditanam sekitar rumahnya dekat Janda Baik, Pahang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat sebaik ia lengkap.

“Seorang bekas diplomat berusia 78 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah tempoh remannya tamat semalam manakala anaknya masih ditahan reman sehingga esok,” katanya pada sidang akhbar di Menara 1, Bukit Aman dekat sini hari ini.

Terdahulu, peguam bekas diplomat, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Majistret Shahrul Ekhsan Hasim tidak membenarkan permohonan reman kali kedua dibuat polis.

“Ini selepas beliau berpuas hati, antara lain tiada bukti untuk mengaitkan individu berkenaan dengan apa-apa kesalahan,” katanya.

Selasa lalu, bekas diplomat yang juga bekas Duta Malaysia ke Indonesia berstatus Datuk ditahan pada 21 Mei lalu selepas disyaki menanam dan memiliki ladang pokok ganja membabitkan hampir 100 batang pokok terlarang itu di kediamannya di Janda Baik, Pahang.

Dia direman sehingga 28 Mei dan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6B dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Turut ditahan anak lelakinya berusia 53 yang ditahan di Shah Alam, Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN