PUTRAJAYA: Teka-teki Hari Raya Aidilfitri disambut hari ini dan bukan seperti dijangka pada esok selepas Labuan berjaya mencerap anak bulan Syawal.
Perkara tersebut diperakui pegawai Unit Falak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan, Awangku Bolkhizan Ahmad Thani.
Satu sumber daripada pejabat berkenaan berkata, pasukan cerapan di lokasi telah melihat hilal tersebut pada pukul 6.25 petang menjelang waktu Maghrib di kedudukan dua darjah 55 minit.
“Ia justeru memenuhi penetapan kriteria baharu imkanur rukyah iaitu ketinggian bulan mesti tidak kurang tiga darjah dan jarak lengkung di ufuk bawah enam darjah empat minit,” kata sumber itu.
Lokasi cerapan hilal di situ terletak di tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan yang mula diwartakan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 2003 lalu.
Sebelum itu, tempat lihat anak bulan di pulau bebas cukai tersebut selama tempoh 15 tahun ditetapkan di Kampung Sungai Pagar menerusi hasil Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 1987.
Semalam, umat Islam di negara ini dilaporkan ‘tergamam’ apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan Aidilfitri disambut pada hari ini.
Tidak diduga
Keadaan tidak diduga itu mencetuskan kelam-kabut dalam kalangan ramai yang menjangka tarikh hari raya jatuh pada 3 Mei sebagai mana tertera menerusi takwim sedia ada.
Tahun lalu, Labuan turut melakar sejarah tersendiri mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya merakam anak bulan Ramadan termuda di dunia yang berumur lapan jam 15 minit.
Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama pulau Wilayah Persekutuan yang kedua itu dapat melihat hilal Syawal kerana kali terakhir ia pernah direkodkan pasukan cerapan pada 2012.
Bahkan, Labuan juga dilaporkan berjaya menyaksikan anak bulan Ramadan buat julung kali pada 2017, iaitu kedua di negara ini selepas Teluk Kemang, Negeri Sembilan pada 1972.
Pencapaian tidak diduga Labuan itu juga sekali gus menepis dakwaan pelbagai pihak tertentu selama ini yang mendakwa kononnya bahagian Timur negara ini agak sukar mencerap hilal.
Lebih unik, Labuan yang dianggap serba kekurangan prasarana cerapan, kini setanding Kompleks Baitul Hilal di Teluk Kemang yang merupakan premis observatori termoden di Malaysia.
Balai cerap termahal di negara ini yang terletak di Daerah Port Dickson itu merupakan lokasi paling kerap berjaya merekodkan anak bulan Syawal iaitu pada 1972, 1974, 1981 dan 2001.
Kawasan balai yang menghadap pantai dan Selat Melaka itu merupakan lokasi cerapan pertama dan tunggal di Malaysia sejak 1972 lalu sebelum dua tempat lagi diwartakan pada 1978.
Pada ketika ini, terdapat sejumlah 29 tempat cerapan diwartakan oleh Majlis Raja-Raja di seluruh negara sejak 2011 yang bertugas melihat kesemua 12 anak bulan Hijri sepanjang tahun.- UTUSAN










