Kos baik pulih ban Mada runtuh cecah RM1.8 juta

Kos baik pulih ban Mada runtuh cecah RM1.8 juta

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (dua dari kanan) melawat kawasan kejadian ban dan terusan tengah runtuh di Struktur Alor Limpah Sungai Santap, Pelubang, Pokok Sena, Alor Setar, Kedah, hari ini. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kos membaik pulih runtuhan ban di Terusan Tengah milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dekat Struktur Alor Limpah, Sungai Santap di Pelubang di sini, semalam dianggarkan kira-kira RM1.8 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM300,000 sudah dibelanjakan untuk menjalankan kerja-kerja awal, bagi membelat kawasan tertentu untuk mengembalikan air di terusan ke paras normal.

Tambahnya, ketika ini hanya 13,500 akaun Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Pokok Sena saja yang berdepan masalah air akibat insiden berkenaan, berbanding jangkaan awal 80,000 akaun sebelum ini.

“Kita sedang usahakan supaya kerja-kerja membelat di kawasan tertentu siap hari ini. Menjelang esok, MADA akan lepaskan air untuk penuhkan semula Terusan Tengah ini.

“Langkah itu bagi membolehkan Loji Rawatan Air (LRA) Pokok Sena yang menjadi satu-satunya LRA dihenti tugas ketika ini, dapat beroperasi semula. Keadaan itu membolehkan masalah bekalan air selesai secara berperingkat bermula esok, manakala kerja-kerja baik pulih ban itu pula dijangka berterusan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan kerja ke lokasi kejadian di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air serta Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaacob; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SADA, Radzuan Osman serta Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli.

Sementara itu, Muhammad Sanusi turut berpesan kepada penduduk yang masih menikmati bekalan air di Alor Setar, Gurun, Pendang dan Yan supaya sentiasa berjimat-cermat dalam menggunakan air.

Menurutnya, walaupun ketika ini LRA di Jenun Lama dan Jenun Baru tetap beroperasi, namun jumlah air yang ada tidak dapat dipastikan mampu bertahan berapa lama sebelum keadaan pulih sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN